PHAK sumbang RM2,000 kepada Maahad Tahfiz Raudhatul Qubra

Kakitangan PHAK bergambar bersama pelajar Maahad Tahfiz Raudhatul Qubra.
Kakitangan PHAK bergambar bersama pelajar Maahad Tahfiz Raudhatul Qubra.
A
A
A

MELAKA - Pantai Hospital Ayer Keroh (PHAK) menerusi program sosial korporatnya telah memberikan sumbangan wang tunai berjumlah RM2,000 dan bantuan keperluan harian serta bekalan makanan kepada Maahad Tahfiz Raudhatul Qubra, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Yew Aik berkata, wang tunai tersebut merupakan sumbangan daripada doktor, kakitangan hospital berkenaan dan orang ramai.

Menurutnya, beliau amat menghargai kerjasama doktor, kakitangan dan orang ramai yang menghulurkan bantuan untuk menjayakan program sosial korporat hospital itu.

“Saya gembira melihat mereka bersemangat pada bulan Ramadan ini untuk membantu golongan yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Pengarah Kejururawatan PHAK, Sriyusni Yusup bersama kakitangan hospital lain mengambil peluang untuk mengagihkan barangan keperluan kepada Maahad Tahfiz Raudhatul Qubra.

“Ini akan memberikan kegembiraan kepada mereka untuk meraikan Aidilfitri, kami memberikan duit raya dan 'goodies bag' kepada 45 pelajar di sana.

Sriyusni menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar.
Sriyusni menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar.

“Ramadan adalah masa untuk berkongsi semangat memberi. Kami berbesar hati kerana dapat menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, terutamanya pada masa yang sukar ini,” katanya.

Beliau berkata, dua tahun kebelakangan ini telah menjejaskan kehidupan orang ramai dan golongan yang kurang bernasib baik terus terjejas oleh pandemik Covid-19 dan amat memerlukan bantuan sekarang lebih daripada sebelumnya.

“Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kesulitan yang dihadapi oleh pusat tersebut,” katanya.

Maahad Tahfiz Raudhatul Qubra terletak di Duyong menyediakan kemudahan tempat perlindungan dan pendidikan percuma kepada 45 pelajar lelaki berumur antara 7 hingga 17 tahun.