Dua rumah terbakar dipercayai akibat mercun, bunga api

Anggota bomba selesai bersiap sedia untuk menjalankan siasatan forensik di lokzu kejadian.
Anggota bomba selesai bersiap sedia untuk menjalankan siasatan forensik di lokzu kejadian.
A
A
A

KUANTAN- Siasatan secara menyeluruh akan dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengenal pasti punca kejadian kebakaran dan letupan dahsyat melibatkan dua rumah di Jalan Permatang Badak Perdana 2 di sini, pada awal pagi Khamis.

Pengarah JBPM Pahang, Datuk Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata siasatan itu membabitkan dari pelbagai sudut kerana kemusnahan dua rumah semi D itu dipercayai bukannya berpunca daripada kebakaran.

Beliau tidak menolak kemungkinan letupan itu dipercayai berpunca daripada beberapa bahan termasuk mercun dan bunga api.

"Kita akan menyiasat keseluruhan kejadian supaya kita dapat pengesahan punca berlaku letupan. Jika dilihat pada dasarnya kejadian ini, bahan yang berlaku letupan kemungkinan daripada dapur masak gas atau bahan lain yang masih dalam siasatan.

"Berdasarkan tinjauan, saya lihat ada silinder gas dan bunga api. Tapi Kita juga tidak tahu apakah sebenarnya bahan yang menyebabkan letupan.

"Kalau betul letupan itu berpunca daripada bunga api atau mercun, kita perlu tahu berapa banyak jumlah mercun sehingga menyebabkan kejadian letupan teruk dan memusnahkan rumah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan di lokasi kebakaran dan letupan membabitkan dua rumah di Kampung Permatang Badak Perdana 2 di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya.

Wan Mohammad Zaidi menjelaskan kebakaran menyebabkan sebuah rumah musnah seratus peratus manakala sebuah lagi rumah musnah 90 peratus.

Wan Mohammad Zaidi (tengah) sedang mendengar taklimat mengenai operasi kebakaran dan letupan membabitkan dua rumah di Jalan Permatang Badak Perdana 2 di sini, pada awal pagi Khamis.
Wan Mohammad Zaidi (tengah) sedang mendengar taklimat mengenai operasi kebakaran dan letupan membabitkan dua rumah di Jalan Permatang Badak Perdana 2 di sini, pada awal pagi Khamis.

Katanya, terdapat enam mangsa iaitu seorang lelaki cedera melecur 50 peratus, seorang lelaki cedera ringan, dua orang perempuan cedera dan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan cedera.

"Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kebakaran ini menyebabkan berlaku satu letupan yang sangat kuat yang menyebabkan struktur rumah kedua dua buah rumah ini rosak teruk dan menyebabkan dinding serta bumbung rumah runtuh.

"Berdasarkan kepada laporan saksi semasa kebakaran berlaku adanya letupan yang sangat kuat yang boleh didengari sehingga 10 kilometer," katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut.

Sebelum itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, panggilan kecemasan itu diterima pada jam 3.15 pagi, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas dan sebuah jentera ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos, dua aliran paip dari tangki jentera bomba dan bantuan air daripada jentera tangki air.

"Turut membantu dalam operasi berkenaan ialah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dan Indera Mahkota," katanya.

Sebelum itu, tular rakaman video melalui aplikasi WhatsApp mengenai kejadian berkenaan awal pagi tadi yang didakwa berpunca daripada stok simpanan mercun di salah sebuah kediaman itu.