Pengalaman pisahkan UiTM

Pemain Terengganu FC II, Jordan Mintah (tengah) diasak pemain UiTM FC, Izaaq Izhan Yuswardi (kanan) pada perlawanan Liga Premier 2022 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi. Terengganu FC II menewaskan UiTM FC dengan 2-0. - Foto Bernama
Pemain Terengganu FC II, Jordan Mintah (tengah) diasak pemain UiTM FC, Izaaq Izhan Yuswardi (kanan) pada perlawanan Liga Premier 2022 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi. Terengganu FC II menewaskan UiTM FC dengan 2-0. - Foto Bernama
A
A
A

KETUA Jurulatih UiTM FC Ismail Ibrahim mengakui faktor kurang pengalaman dan keyakinan menyebabkan pasukannya tewas dalam kesemua lima perlawanan Liga Premier berturut-turut, sebelum ini.

Ismail berkata, kelemahan anak buahnya dalam setiap perlawanan amat ketara apabila gagal mempamerkan permainan cantik ketika berdepan tekanan pasukan lawan serta sikap terlampau berhati-hati bagi mengelak daripada melakukan kesilapan yang akhirnya memakan diri.

"Perkara ini memberi tekanan kepada saya dan pasukan kerana mereka (pemain) tidak tunjukkan semangat betul-betul mahu bermain... mereka setakat ada di atas padang.

"Kalau kita tengok dengan cara hantarannya...dengan mudah sahaja mereka boleh hilang bola. Kalau 'midfield' tak boleh pegang bola, macam mana nak bermain? Kita kena banyak perbaiki daripada aspek itu," katanya selepas aksi Liga Premier menentang Terengganu FC ll (TFC ll) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam Rabu.

Pada perlawanan itu, skuad The Turtles yang dibimbing jurulatih Badrul Afzan Razali berjaya menewaskan UiTM FC 2-0 hasil jaringan dua pemain import, Jordan Mintah dan Argzim Redzovic.

Sehubungan itu, Ismail berkata, pasukannya amat memerlukan khidmat awang import atau pemain tempatan berpengalaman yang boleh memimpin barisan pemain muda dalam skuad The Lion Troops.

Menurut beliau, kehadiran pemain berpengalaman boleh membantu meningkatkan keyakinan diri pemain muda terutama dalam menyerap tekanan ketika beraksi di atas padang.

"Dalam pasukan kena ada seorang jeneral yang boleh bantu pemain lain supaya mereka ada keyakinan memandangkan umur pemain yang muda dan sebaya.

"Memang kita ada sorang dua pemain senior dalam pasukan, tetapi mereka tak boleh nak 'command' team sebagaimana yang saya harapkan," katanya.

Sementara itu, Badrul Afzan berkata, kejayaan malam tadi menjadi penyuntik semangat untuk pasukannya meneruskan rentak kemenangan pada perlawanan akan datang. - Bernama