Alamanda Putrajaya rai anak yatim sempena Syawal

Sook Fong (dua dari kiri) bersama anak yatim dan kanak-kanak kurang bernasib baik dari Rumah Bakti Al-Kausar, Bangi yang diraikan pada Khamis.
Sook Fong (dua dari kiri) bersama anak yatim dan kanak-kanak kurang bernasib baik dari Rumah Bakti Al-Kausar, Bangi yang diraikan pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA – Tidak melupakan golongan kurang bernasib baik, Pusat Beli Belah Alamanda menjemput penghuni Rumah Bakti Al-Kausar, Bangi untuk membeli-belah persiapan hari raya sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporatnya.

Pengurus Besar Pusat Beli Belah Alamanda, Pang Sook Fong berkata, anak yatim dan kanak-kanak kurang bernasib baik itu dibawa membeli-belah baju dan kasut raya.

Menurutnya, sebelum dibawa berbuka puasa di Secret Recipe, kanak-kanak berusia enam hingga 17 tahun terbabit dibawa ke Centre Court, di mana Alamanda mencipta semula dekorasi kampung 'Raya di Dusun Atuk' dan mereka dihiburkan dengan persembahan Hari Raya Zapin.

"Majlis menjadi lebih bermakna apabila rakan niaga Alamanda seperti Gene Martino, Qutn Cotton dan Dunkin' Donuts turut menyumbangkan barangan Hari Raya kepada kanak-kanak ini," katanya ketika ditemui di Alamanda di sini pada Khamis.

Penghuni Rumah Bakti Al-Kausar, Bangi teruja menerima sumbangan baju raya daripada rakan niaga Alamanda Putrajaya.
Penghuni Rumah Bakti Al-Kausar, Bangi teruja menerima sumbangan baju raya daripada rakan niaga Alamanda Putrajaya.

Hadir sama, Pengerusi Rumah Bakti Al-Kausar, Razali Basri dan Timbalan Pengerusi Rumah Bakti Al-Kausar, Abu Bakar Abdul Rafar.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien berkata, sebagai satu-satunya pusat membeli-belah di Putrajaya, pihaknya menyedari keperluan untuk memainkan peranan penting dalam melibatkan diri dan menyokong masyarakat secara aktif terutamanya kanak-kanak tidak bernasib baik.

"Walaupun beraya di samping rakan-rakan dan keluarga adalah penting, kita mesti sentiasa mengingati bahawa tidak ramai yang mempunyai keistimewaan ini. Sehubungan itu, kami berbesar hati untuk berkongsi kemeriahan Hari Raya bersama anak-anak Rumah Bakti Al-Kausar,” katanya.

Rumah Bakti Al-Kausar yang diasaskan pada tahun 2011 dan setakat ini menempatkan 36 kanak-kanak, menyediakan tempat perlindungan kepada kanak-kanak memerlukan terutamanya anak yatim.