Save Kelantan sedia tegur kerajaan negeri

Husam (kiri) semasa majlis memperkenalkan Save Kelantan pada sesi dialog bersama pengamal media Kelantan.
Husam (kiri) semasa majlis memperkenalkan Save Kelantan pada sesi dialog bersama pengamal media Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Sekretariat Save Kelantan sedia menjadi badan bertindak yang akan membuat semakan dan menegur berkait dengan perkara-perkara dilakukan oleh kerajaan negeri.

Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, badan itu lebih memfokuskan kepada cadangan dan penyelesaian berkait dengan satu-satu isu yang timbul.

"Saya mengambil tanggungjawab ini kerana tiada seorang pun yang faham dan cekap berkait dengan permasalahan di Kelantan," katanya ketika ditemui pada sesi dialog bersama pengamal media Kelantan di sini.

Menurutnya, jika beliau tidak mengambil tanggungjawab mendedahkan sampai bila-bila tiada orang yang sanggup untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, fokus Save Kelantan kepada isu-isu melibatkan negeri Kelantan sahaja seperti pembalakan, air dan banyak lagi.

Husam yang juga bekas Exco Kanan Kelantan berkata, tiada masalah jika objektif untuk menjaga kepentingan masyarakat itu boleh dicapai tanpa melalui kepentingan parti-parti.

"Kalau objektif itu kita boleh capai (tanpa) melalui kepentingan parti-parti, saya rasa tak ada masalah," katanya.

Ketua Amanah Kawasan Kota Bharu itu berkata, badan ini mempunyai 18 biro yang akan menjadi tunjang dalam menggerakkan Save Kelantan.

"Save Kelantan bukan bersifat politik," katanya.