Kelantan United rapatkan jurang dengan pendahulu

Njoku Jacob cemerlang di Ipoh. - Foto MFL
Njoku Jacob cemerlang di Ipoh. - Foto MFL
A
A
A

KELANTAN United FC merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Premier, Kelantan FC selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk membenam Perak FC 3-2 pada perlawanan di Stadium Perak.

Kemenangan dramatik itu bertambah manis buat penyerang import dari Nigeria, Njoku Jacob yang meledak hatrik untuk membantu Kijang Hijau melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan UiTM FC, pada Sabtu.

Kejayaan di Ipoh menyaksikan skuad bimbingan Syamsul Mohd Saad kini mengumpul 12 mata pada kedudukan ketiga dan hanya ketinggalan tiga mata di belakang Kelantan dan Johor Darul Ta’zim (JDT) II yang berkongsi kedudukan selepas mengharungi enam perlawanan.

Pada aksi itu, Perak cemerlang mendahului menerusi jaringan penyerang Aqil Hilman Daniel Roslan seawal minit keempat, sebelum pemain pertahanan Muhammad Nazmi Ahmad menggandakan gol pada minit ke-11.

Kedudukan itu gagal dipertahankan anak buah Yusri Che Lah yang dibolosi dua gol dalam tempoh empat minit kemudian, apabila Jacob mula membuka akaun jaringan pada minit ke-20 sebelum meraih gol kedua empat minit kemudian bagi mengikat kedudukan 2-2.

Gol kemenangan dan jaringan hatrik Jacob hadir pada penghujung perlawanan selepas beliau menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-88, sekali gus memberikan kekalahan kelima liga kepada Perak FC.

Sementara itu, Terengganu FC (TFC) II kembali melakar kemenangan selepas memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mengatasi UiTM FC 2-0 pada satu lagi aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Kekecewaan pasti dirasai pasukan pelawat selepas kelalaian mereka pada separuh masa kedua dihukum TFC II yang memerlukan tempoh hanya dua minit untuk meledak dua gol dan membawa pulang tiga mata.

Terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, pasukan tuan rumah akhirnya memecah kebuntuan gol menerusi Jordan Mintah pada minit ke-64 sebelum Argzim Redzovic meletakkan TFC II selesa mendahului 2-0 dua minit berselang.

Kekalahan UiTM ini merupakan kekalahan kelima berturut-turut pasukan tersebut yang kini terperuk pada kedudukan kedua tercorot tanpa sebarang mata, manakala TFC II naik ke tangga keempat selepas mengumpul 10 mata hasil lima perlawanan. - Bernama