SRITI Tok Guru mahu lahirkan murid rabbani

SRITI Tok Guru bercadang untuk meluaskan ruangan kantin dengan menambah ruangan di tingkat atas bagi memberi keselesaan kepada para pelajar. Gambar kecil: Munirah
SRITI Tok Guru bercadang untuk meluaskan ruangan kantin dengan menambah ruangan di tingkat atas bagi memberi keselesaan kepada para pelajar. Gambar kecil: Munirah
A
A
A

KOTA BAHRU - Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Tok Guru, Pulau Melaka, di sini tekad menjadi pusat pendidikan awal kanak-kanak dalam melahirkan generasi rabbani yang mampu memberikan sumbangan kepada agama, bangsa dan negara pada masa hadapan.

Guru Besar SRITI Tok Guru, Munirah Mohd Sidik berkata, bagi memastikan hasrat itu mampu dicapai, pihaknya telah menyediakan satu kerangka khusus dalam memastikan kanak-kanak yang mendapat pendidikan di sini diterapkan dengan ilmu agama sebaik mungkin selain akademik.

"InsyaALLAH kerjasama erat dalam kalangan warga pendidik, hasrat yang kita impikan itu mampu dicapai dengan sebaik mungkin," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pendidikan awal kanak-kanak yang diterapkan dengan ilmu agama ini penting supaya mereka dibekalkan 'makanan' rohani kukuh sebelum melangkah masuk ke zaman remaja.

Beliau berkata, pendedahan awal terhadap asas agama penting supaya mereka lebih memahami dengan lebih baik kerana golongan ini merupakan kain putih yang mudah untuk dibentuk.

Dalam perkembangan lain, Munirah berkata, bagi mewujudkan suasana yang lebih kondusif, pihaknya sedang berusaha menyiapkan pembesaran kantin.

Jelasnya, hal ini kerana kemudahan sedia ada sudah tidak mampu untuk menampung kemasukan pelajar yang semakin bertambah.

"SRITI Tok Guru bercadang untuk meluaskan ruangan kantin dengan menambah ruangan di tingkat atas bagi memberi keselesaan kepada para pelajar," ujarnya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi Bank Muamalat atas nama SRITI Tok Guru dengan nombor akaun 03020002446716.