337 jersi tiruan pasukan Pulau Pinang dirampas

Penguat kuasa KPDNHEP menunjukkan jersi tiruan yang ditemui dalam sebuah kedai menjual peralatan sukan di Nibong Tebal pada Rabu.
Penguat kuasa KPDNHEP menunjukkan jersi tiruan yang ditemui dalam sebuah kedai menjual peralatan sukan di Nibong Tebal pada Rabu.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang merampas 337 helai jersi pasukan bola sepak Pulau Pinang dalam serbuan dilakukan di sebuah kedai peralatan sukan di Taman Perindustrian Nibong Tebal, di sini pada Rabu.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, serbuan dilakukan jam 11.30 pagi itu turut disertai wakil pemilik cap dagangan selepas menerima aduan daripada Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang.

Menurutnya, kesemua jersi pasukan bola sepak Pulau Pinang itu dianggarkan bernilai RM15,050 menggunakan cap dagangan palsu.

"Kesemua 337 helai jersi itu disita bagi siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata, pasukan penguat kuasa turut menyerbu sebuah premis yang disyaki menjual kasut berjenama tiruan melalui transaksi perniagaan dalam talian di Taman Industri Ringan Mak Mandin, Butterworth.

Beliau berkata, dalam serbuan itu pihaknya menyita 1,550 pasang kasut dan 400 pasang selipar dengan anggaran nilai RM42,750.

Katanya, kesemua kasut dan selipar itu dirampas selepas disyaki menggunakan cap dagangan palsu.

"Kedua-dua kes akan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan jika disabitkan kesalahan, peniaga ini boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.

"Mereka juga boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,”katanya.

Dalam pada itu, Mohd Ridzuan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba menjual barangan tiruan supaya menghentikan perbuatan itu atau bakal dikenakan tindakan tegas.

Beliau turut menyeru sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam bagi memastikan aktiviti penjualan barangan tiruan dibanteras.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui Bilik Gerakan KPDNHEP Pulau Pinang di talian 04-3840245.