Harga petrol RON97 naik 13 sen seliter, RON95 dan diesel kekal

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Harga runcit petrol RON97 naik sebanyak 13 sen seliter kepada RM3.94 seliter bagi tempoh seminggu bermula Khamis hingga 4 Mei.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan harga petrol RON95 dan diesel pula masing-masing kekal pada harga RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter.

"Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter.

"Sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan, sepertimana yang dapat dilihat pada harga runcit petrol RON97 yang ditetapkan mengikut harga pasaran,” menurut kenyataan itu.

Harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism.

MOF turut memaklumkan kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. - Bernama