Sila log masuk terlebih dahulu.

Covid-19: Tidak perlu kuarantin tujuh hari

Individu yang positif Covid-19 kini tidak perlu lagi menjalani tempoh kuarantin sehingga tujuh hari sekiranya ujian RTK-Ag didapati negatif pada hari keempat. (Gambar hiasan) Gambar kecil: Khairy Jamaluddin
Individu yang positif Covid-19 kini tidak perlu lagi menjalani tempoh kuarantin sehingga tujuh hari sekiranya ujian RTK-Ag didapati negatif pada hari keempat. (Gambar hiasan) Gambar kecil: Khairy Jamaluddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Individu yang positif Covid-19 kini tidak perlu lagi menjalani tempoh kuarantin sehingga tujuh hari sekiranya ujian RTK-Ag didapati negatif pada hari keempat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ujian RTK-Ag itu perlu diselia oleh pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), sama ada secara fizikal atau maya.

"Ini membolehkan individu berkenaan segera mendapat perintah pelepasan daripada pengasingan apabila keputusan ujian pengesanan tersebut negatif Covid-19," katanya, dekat sini pada Rabu.

Menurutnya, keputusan ujian berkenaan hendaklah dimasukkan ke dalam sistem eCovid oleh pengamal perubatan.

"Langkah tersebut bagi memastikan integrasi data dengan aplikasi MySejahtera dapat berlaku dalam tempoh kurang daripada satu jam," katanya.

Beliau berkata, sekiranya ujian mendapati masih positif, individu tersebut perlu melengkapkan tempoh pengasingan tujuh hari.

"Sekiranya individu tidak memilih untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19, maka pelepasan akan diberikan secara automatik selepas menjalani pengasingan selama tujuh hari,” katanya.

Khairy Jamaluddin berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung semakan semula ke atas langkah-langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 yang boleh dilaksanakan semasa dalam fasa peralihan ke endemik.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, semua individu dibenarkan memasuki premis tanpa mengira status vaksinasi.

"Kecuali mereka yang positif Covid-19 walaupun mempunyai status vaksinasi lengkap dan individu dalam tempoh Perintah Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO) termasuk pengembara tanpa vaksinasi lengkap yang baru tiba di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menggugurkan keperluan melakukan ujian pengesanan Covid-19 sebelum berlepas ke Malaysia dan semasa ketibaan bagi tiga kumpulan pengembara.

Kumpulan itu merangkumi individu berusia 13 tahun ke atas yang telah lengkap vaksinasi dan pengembara mempunyai sejarah jangkitan Covid-19 dalam tempoh enam ke 60 hari dari tarikh sembuh sebelum berlepas ke Malaysia.

"Pengembara berusia 12 tahun dan ke bawah tanpa mengira status vaksinasi keperluan itu turut digugurkan," katanya.

Ujarnya, pengembara dengan status vaksinasi tidak lengkap atau belum menerima vaksinasi perlu melakukan ujian pra pelepasan dua hari sebelum berlepas ke Malaysia menggunakan RT-PCR atau RTK-Ag professional.

Pengembara yang dikesan bergejala semasa berada di pintu masuk antarabangsa negara akan diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19 menggunakan RTK-Ag professional.

“Polisi yang sama akan digunapakai bagi semua kategori pengembara termasuk umrah, haji dan pekerja asing,” katanya.

Bagi pengembara umrah dan haji, Khairy Jamaluddin berkata, mereka dikehendaki mendapatkan vaksinasi dos penggalak sebelum berlepas ke Tanah Suci.

“Semua pengembara masih perlu mengemukakan Kad Pengembara yang dipaparkan di dalam aplikasi MySejahtera semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa,” katanya.

Selain itu, insurans Covid-19 bagi pengembara bukan warganegara Malaysia tidak lagi menjadi pra-syarat kemasukan ke Malaysia.

Kesemua ketetapan dan protokol baharu itu berkuat kuasa mulai 1 Mei depan.