KKM kekal unjur 45 peratus kanak-kanak divaksinasi

Khairy ketika sidang media di KKM, Putrajaya pada Rabu.
Khairy ketika sidang media di KKM, Putrajaya pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Unjuran vaksinasi bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun kekal ditetapkan pada kadar 45 peratus menjelang tarikh akhir pemberian vaksin secara percuma kepada golongan itu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia berikutan majoriti ibu bapa masih berpendapat dan membuat pilihan untuk tidak membenarkan anak mereka diberi vaksin.

"Saya unjurkan kita mungkin hanya akan capai 45 peratus daripada golongan kanak-kanak tetapi saya harap bahawa ibu bapa masih lagi ada masa dua minggu dengan mengambil peluang untuk vaksinasi anak mereka," katanya pada sidang akhbar di kementeriannya pada Rabu.

Menurutnya, tarikh akhir pemberian vaksin secara percuma kepada golongan itu kekal berakhir pada 15 Mei depan.

"Kita tidak lagi mampu untuk panjangkan tarikh tersebut sebab ini juga ada kaitan dengan tarikh luput vaksin, penghantaran daripada pengeluar dan juga usaha kita untuk memperoleh lebih banyak lagi ubat anti viral," katanya.

Beliau berkata, KKM hanya menyimpan bekalan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech untuk kegunaan kanak-kanak yang mencapai usia lima tahun tahun ini.

"Kita juga akan simpan bekalan vaksin untuk kanak-kanak yang positif dan terpaksa menunggu sebulan sebelum mendapat dos pertama mereka," katanya.

Khairy berkata, kanak-kanak yang belum divaksin berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk.

Sehingga kadar pemberian dos pertama dan kedua untuk kanak-kanak adalah masing-masing 42.3 peratus dan 21.4 peratus.

Dari Oktober 2021 hingga April 2022, terdapat 245 kes Sindrom Keradangan Pelbagai Sistem pada Kanak-Kanak atau Multisystem Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) akibat jangkitan Covid-19 dilaporkan.

"Dua hari lepas kita juga menerima perkhabaran melalui laman media sosial Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai seorang kanak-kanak berumur 11 tahun telah mengalami MIS-C selepas dijangkiti Covid-19.

"KKM amat bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga arwah," katanya.

Beliau menjelaskan, kejadian itu perlu dijadikan iktibar dan pendorong kepada ibu bapa lain untuk segera mendapatkan vaksin Covid-19 bagi anak-anak mereka yang layak.

"Segeralah bawa anak anda mendapatkan vaksin Covid-19 dan pastikan warga emas dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti mengambil dos penggalak.

"Bersama kita lindungi mereka dan nikmati perayaan ini dengan selamat, sihat dan sejahtera," katanya.