Peniaga, pemborong ayam dikompaun RM15,500

Muhamad Zikril (kiri) membuat pemeriksaan dan pemantauan di Pasar Raya Lotus Kuala Selangor pada Rabu.
Muhamad Zikril (kiri) membuat pemeriksaan dan pemantauan di Pasar Raya Lotus Kuala Selangor pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mencatatkan sebanyak 60 kes kesalahan terhadap peniaga dan pemborong ayam sejak pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum (PHM) bagi ayam dan telur sejak 5 Februari lalu.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM15,500 nilai kompaun dikeluarkan melibatkan tiga kesalahan iaitu melebihi harga jualan, tidak mempamer tanda harga dan gagal menggunakan tanda harga berwarna merah jambu.

Menurutnya, sebanyak 49 kes membabitkan kesalahan gagal menggunakan tanda harga, manakala (10 kes) lagi menjual melebihi harga siling runcit ayam bulat standard yang ditetapkan pada RM8.90 sekilogram dan satu kes tiada tanda harga.

"Tindakan ini dilakukan selepas KPDNHEP melalui penguat kuasa dan pegawai pemantau harga membuat pemeriksaan di 1,994 premis," katanya pada sidang akhbar selepas membuat pemantauan di Pasar Raya Lotus Kuala Selangor pada Rabu.

Muhamad Zikril berkata, pemeriksaan PHM dilaksanakan di sebanyak 1,927 peruncit dan 67 pemborong.

Beliau memberitahu, jumlah pecahan kesalahan pula mencatatkan 54 kes melibatkan peruncit dan enam pemborong.

Mengulas mengenai keluhan peniaga ayam yang mendakwa dikenakan caj pengangkutan dan perkhidmatan bagi pembelian ayam hidup, Muhamad Zikril berkata, jika terdapat mana-mana pemborong menjual melebihi harga kawalan, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas.

Katanya, peniaga ayam dinasihatkan membuat aduan kepada KPDNHEP berhubung perkara berkenaan.

"Kita meminta peniaga ayam yang terlibat membuat aduan kepada KPDNHEP bagi membolehkan kita menyiasat aduan tersebut," jelasnya.