Kerajaan Johor umum 2 Mei sebagai cuti khas peristiwa

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor mengisytiharkan tarikh 2 Mei ini sebagai cuti khas peristiwa bagi memudahkan perancangan perjalanan rakyat beragama Islam sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara itu diputuskan selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Rabu dan terpakai kepada semua jabatan, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta di negeri ini.

"Pengumuman cuti ini adalah dengan mengambil kira beberapa perkara bagi memudahkan perjalanan rakyat sempena sambutan perayaan Aidilfitri tahun ini. Ia juga bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan trafik sebelum menyambut perayaan.

"Selain itu, cuti ini juga bagi memberi ruang kepada ahli keluarga meluangkan masa lebih lama selepas dua tahun tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama ekoran pandemik Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Untuk rekod, cuti hujung minggu di negeri Johor jatuh pada hari Jumaat dan Ahad, berikutan itu negeri ini tidak terlibat dengan cuti gantian pada tarikh 2 Mei berkenaan.

Onn Hafiz berkata, disebabkan perkara itu, Kerajaan Negeri Johor melihat terdapat pekerja yang tidak mengambil cuti rehat dan perlu datang ke tempat kerja masing-masing bagi memastikan operasi pejabat serta organisasi berjalan seperti biasa.

Justeru, beliau menjelaskan pengumuman yang dibuat itu diharap dapat menyelesaikan perkara berkenaan sekali gus memberi kemudahan kepada rakyat Johor sempena perayaan Aidilfitri ini.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin," katanya.