Lebih 100 terputus bekalan air, jejas persiapan sambut Aidilfitri

Ab Rahim (kiri) dan Othman menunjukkan tong berisi air hujan yang digunakan bagi tujuan pembersihan berikutan ketiadaan bekalan air di Kampung Sungkap Para.
Ab Rahim (kiri) dan Othman menunjukkan tong berisi air hujan yang digunakan bagi tujuan pembersihan berikutan ketiadaan bekalan air di Kampung Sungkap Para.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seramai 140 penduduk dari 40 buah keluarga di Kampung Sungkap Para di sini terputus bekalan air sejak lebih seminggu lalu sehingga menyukarkan sebahagian penduduk khususnya beragama Islam membuat persiapan menyambut hari raya yang bakal menjelang tiba beberapa hari lagi.

Seorang penduduk, Fatimah Ahmad, 56, berkata, bukan itu sahaja, rutin bulan Ramadan yang perlu menyediakan juadah berbuka dan bersahur untuk keluarga turut terganggu berikutan ketiadaan bekalan air.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan penduduk kampung terpaksa mengangkut air di sungai berdekatan untuk memenuhi keperluan harian.

"Kami terpaksa menakung air sungai untuk dibawa balik bagi memenuhi keperluan harian dan kebersihan diri sekeluarga termasuk membuang air kecil dan besar," katanya.

Siti Hajar
Siti Hajar

Perkara itu turut diakui Siti Hajar Ahmad, 34, yang memberitahu penduduk juga terpaksa berulang alik sehingga lima atau enam kali sehari untuk mengangkut air sungai menggunakan motosikal.

Peniaga makanan, Mazlina Johari, 42, pula berkata, dia terpaksa membeli tangki air berharga RM630 bagi menampung penggunaan air yang banyak untuk memasak berikutan gangguan bekalan air sepanjang minggu lalu masih belum pulih.

"Bila air tiada, banyak urusan tergendala sebab nak masak untuk berniaga," katanya.

Selain itu, gangguan bekalan air turut memberi kesan kepada 60 orang murid dan 20 kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungkap Para sehingga menyebabkan Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) terpaksa dibatalkan beberapa hari berikutan isu terbabit.

Perkara itu diakui Guru Besar SK Sungkap Para, Iskandar Siji bahawa masalah ketiadaan air turut menjejaskan kelancaran proses pembelajaran.

"Saya terpaksa minta waris bekalkan air dari rumah ke sekolah sekiranya anak-anak ingin membuang air, ini sekali gus menjejaskan pembelajaran kerana di sekolah bekalan air tiada," katanya.

Sementara itu, masalah ketiadaan air turut menjejaskan sebahagian penduduk dari Taman Bandar Baru Sungai Lalang yang mengadu lebih seminggu terpaksa menunggu lori menghantar bekalan air.

Ab Rahim
Ab Rahim

Ab Rahim Hanafi, 60, berkata, ketiadaan bekalan air bukan sahaja menyukarkan mereka sekeluarga melakukan persiapan menyambut Aidilfitri, malah turut menyukarkan anak dan cucu yang pulang beraya tidak lama lagi.

"Macam mana kami nak sambut anak dan cucu sekiranya air tiada, nak masak dan mencuci pun tergendala," katanya.

Othman Md Isa, 68, pula memberitahu, setelah dua tahun tidak berkumpul bersama keluarga akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sudah tentu ramai merancang berkumpul beramai-ramai bersama-sama ahli keluarga pada hari raya tahun ini.

Sehubungan itu katanya, perkara tersebut perlu diatasi segera bagi memastikan masalah tersebut tidak menjejaskan aktiviti berkumpul bersama keluarga.

"Penduduk menggesa agar masalah bekalan dipulihkan segera selewat-lewatnya sebelum hari raya," katanya.