Permohonan injunksi kes saman PM terhadap Agenda Daily 25 Julai ini

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR Mahkamah Tinggi di sini menetapkan tarikh baharu pada 25 Julai ini untuk mendengar permohonan injunksi inter-parte dalam kes saman difailkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap pemilik Agenda Daily Media Enterprise berhubung penerbitan artikel yang didakwa memfitnah Perdana Menteri itu.

Peguam Joshua Tan yang mewakili Ismail Sabri ketika dihubungi berkata, tarikh pendengaran ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Idamasliza Maarof ketika pengurusan kes yang berlangsung secara dalam talian (e-Review) pada Rabu.

"Permohonan injunksi itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad melalui sidang video," kata peguam itu.

Pada Rabu, sepatutnya ditetapkan untuk mendengar permohonan injunksi berkenaan.

Pada 4 Mac lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ismail Sabri, 62, untuk memperoleh injunksi ad-interim terhadap Muhamad Izwan Mohd Zubit, 37, bagi mengekalkan status quo sementara menunggu pelupusan permohonan injunksi inter-parte (dua pihak).

Pada 18 Februari, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya defendan (Muhamad Izwan) memadamkan artikel yang diterbitkan dan daripada membuat sebarang kenyataan berkaitan beliau.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail Sabri selaku plaintif yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya, mendakwa pada 30 Januari lepas, Agenda Daily Media telah menerbitkan artikel bertajuk ‘Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, 'rayu' jangan tarik sokongan’ dalam laman webnya yang mengandungi pelbagai kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif.

Beliau mendakwa artikel itu antaranya membawa maksud bahawa, beliau terdesak untuk terus menjadi Perdana Menteri dengan apa cara sekalipun, dan sanggup merayu kepada parti politik tertentu supaya tidak menarik sokongan terhadapnya, selain mendakwa tempohnya sebagai Perdana Menteri adalah tempoh yang paling singkat dalam sejarah Malaysia.

Akibat daripada penerbitan artikel itu, Ismail Sabri mendakwa reputasinya sebagai seorang ahli UMNO dan sebagai Perdana Menteri telah tercemar, dan penerbitan itu juga telah menyebabkan emosinya terganggu dan kenyataan-kenyataan fitnah yang terkandung dalam artikel tersebut, boleh membawa kesan buruk kepada kerjaya politiknya.

Sementara itu, Muhamad Izwan dalam pernyataan pembelaannya mendakwa beliau dan syarikat itu telah melaksanakan sikap kewartawanan yang bertanggungjawab semasa menulis dan memuat naik artikel dalam laman webnya berkaitan Ismail Sabri selain menafikan artikel berkenaan mengandungi kenyataan yang bersifat fitnah dan berniat jahat terhadap plaintif.

Dalam pada itu, Ismail Sabri ketika menjawab pembelaan defendan, menegaskan beliau tidak pernah merayu kepada mana-mana parti politik untuk mengekalkan sokongan mereka terhadapnya supaya terus menjadi Perdana Menteri. - Bernama