'Tak halang, cuma kena ikut saluran betul'

Saarani
Saarani
A
A
A

KERAJAAN Perak tidak akan menghalang kelab penyokong bola sepak negeri ini yang berhasrat mahu mengumpul tanda tangan untuk dihantar ke Pejabat Istana Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tindakan itu bukan sesuatu yang boleh dihalang dan terpulang kepada kewajaran kelab penyokong itu sendiri.

Jelas beliau, sekiranya hasrat berkenaan mahu direalisasikan, perkara itu perlu dilakukan mengikut tatacara dan saluran yang betul.

"Saya tak boleh menghalang hasrat penyokong-penyokong bola untuk berbuat demikian, cumanya kena ikut saluran yang betul.

"Bermakna mereka kena melalui setiausaha sulit baginda Sultan dan sampaikan ikut cara sebenarnya.

"Insya-ALLAH jika warkah itu sampai kepada Tuanku Sultan, biasanya baginda akan membacanya dan memberi perhatian sewajarnya," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas hasrat Persatuan Penyokong Bola Sepak Perak TBG Mobs yang mahu mengutip tanda tangan penyokong Perak untuk dihantar ke pejabat istana.

Tindakan penyokong Perak itu bertujuan menarik perhatian Sultan Perak tentang nasib yang menimpa Bola sepak Perak ketika ini.

Seramai 50 pemain dan pegawai menerima sumbangan RM1,000 setiap seorang disampaikan Saarani sebagai bantuan sempena sambutan Aidilfitri ini. Foto: FB Perak Football Club
Seramai 50 pemain dan pegawai menerima sumbangan RM1,000 setiap seorang disampaikan Saarani sebagai bantuan sempena sambutan Aidilfitri ini. Foto: FB Perak Football Club

Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri telah menyampaikan sumbangan khas RM1,000 setiap seorang kepada 50 pemain dan pegawai Perak FC sebagai bantuan sempena sambutan Aidilfitri ini.

"Kita menyumbang sedikit duit raya kepada 50 orang termasuk pemain dan pegawai, tak banyak hanya RM1,000 sahaja untuk persiapan raya," katanya.