SADA jamin masalah air selesai dalam tempoh tiga bulan

Zulazni (tengah) bertemu penduduk Kampung Sungkap Para ketika sesi dialog membincangkan isu bekalan air di kawasan berkenaan.
Zulazni (tengah) bertemu penduduk Kampung Sungkap Para ketika sesi dialog membincangkan isu bekalan air di kawasan berkenaan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Syarikat Air Darul Aman (SADA) memberi jaminan masalah bekalan air di Kampung Sungkap Para di sini akan kembali pulih sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga bulan.

Ketua Pegawai Operasi SADA, Zulazni Mohd Noor berkata, sepanjang tempoh itu, terdapat kerja-kerja pembinaan rumah pam dalam usaha mengatasi masalah berkenaan.

Menurutnya, susulan aduan dibuat penduduk yang berdepan masalah bekalan lebih seminggu lalu, satu siasatan dilakukan dan mengenal pasti terdapat 150 kebocoran termasuk paip bawah tanah di sekitar Bukit Selambau yang memberi kesan pengagihan air.

"Kerja-kerja membaiki sedang dilakukan dan dijangka mengambil tempoh seminggu.

"Buat masa ini, kita memastikan penghantaran air melalui lori dilakukan termasuk ke tempat tinggi dan sekolah," katanya kepada media selepas sesi dialog bersama penduduk di Kampung Sungkap Para pada Rabu.

Melalui dialog berkenaan, penduduk berharap tiada gangguan bekalan air pada waktu puncak antara jam 6 pagi hingga 8 malam.

"Kita berharap kerja-kerja naik taraf Loji Bukit Selambau yang akan siap pada tahun 2024 mampu meningkatkan kapasiti air yang disalurkan kepada penduduk.

"Ia bukan sahaja membantu penduduk sekitar Bukit Selambau yang berdepan gangguan bekalan namun kawasan perumahan sekitar seperti Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, Taman Seri Bayu serta Ambangan Heights yang menerima bekalan dari Loji Pinang Tunggal, Sungai Petani serta sering berdepan isu air turut menerima manfaat yang sama," katanya.

Tambah Zulazni, bekalan air di Kampung Sungkap Para yang terjejas lebih seminggu kembali pulih pada Selasa selepas kerja-kerja membaiki paip bocor dilakukan secara berperingkat.