Pampasan mangsa pencemaran kimia Sungai Kim Kim belum diputuskan

Wan Azizah Wan Ismail - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan belum memutuskan jumlah pampasan kepada mangsa pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.

Beliau berkata, kerajaan pada masa ini memberi tumpuan terhadap kesihatan dan rawatan kepada mangsa serta mencari langkah pencegahan supaya kejadian sama tidak berulang.

"Kejadian Sungai Kim-Kim ini baru berlaku, setakat sekarang apa yang kerajaan mengambil tanggungjawab adalah untuk memberikan mereka (mangsa) kesihatan dan rawatan yang diperlukan.

"Untuk pampasan, belum lagi dikira berapa atau bagaimana nak diberikan pampasan kepada mereka," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai jumlah bantuan terhadap mangsa kejadian pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan membelanjakan RM8.78 juta kepada negeri-negeri Pantai Timur bagi menangani banjir ketika musim monsun timur laut pada November 2018 hingga 7 Mac lepas. Beliau berkata, jumlah itu antaranya melibatkan peruntukan RM5.6 juta untuk pusat-pusat pemindahan banjir serta RM2.8 juta bagi menyediakan pangkalan hadapan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam kegunaan perolehan keperluan asas seperti tilam, tikar, selimut dan bantal.

Katanya, RM320,000 turut disediakan bagi perbelanjaan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah di negeri-negeri Pantai Timur.

"Bagi mangsa banjir pula, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan bantuan ihsan RM500 kepada setiap ketua isi rumah," katanya.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Rosol Wahid (PH-Hulu Terengganu) mengenai jumlah peruntukan dikeluarkan kerajaan dalam usaha menangani bencana banjir di negeri-negeri Pantai Timur antara November 2018 hingga Jan lepas. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia