16 lokasi maut di Kelantan 'menanti' perantau

Muhamad Zaki (dua dari kanan) beramah mesra dengan pengguna jalan raya semasa Majlis Pelancaran Op Selamat 18/22 Sempena Hari Raya Aidilfitri di Stesen Penguatkuasa JPJ Bukit Jawa, Pasir Puteh pada Rabu.
Muhamad Zaki (dua dari kanan) beramah mesra dengan pengguna jalan raya semasa Majlis Pelancaran Op Selamat 18/22 Sempena Hari Raya Aidilfitri di Stesen Penguatkuasa JPJ Bukit Jawa, Pasir Puteh pada Rabu.
A
A
A

PASIR PUTEH - Polis Kelantan mendedahkan terdapat 16 lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan maut sekaligus mengingatkan para perantau yang pulang menyambut Aidilfitri supaya sentiasa berwaspada bagi mengelakkan berlakunya tragedi 'berdarah'.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, di Kota Bharu terdapat tiga lokasi maut melibatkan Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh (Kubang Kerian-Melor), Jalan Kota Bharu-Pengkalan Chepa (Ja lanTok Guru), Jalan Salor Baru-Pasir Mas dan Jalan Binjai-Bachok (Padang Bongor).

"Ia diikuti dua lokasi masing-masing di Gua Musang Kilometer (km) 59-62 Jalan Gua Musang-Kuala Lumpur di Sungai Bayu dan km 52-59 Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Air Panas), Machang (km 48-52 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai serta Jalan Machang-Tanah Merah, Wakaf Bata) dan Pasir Mas (km 7-31 Jalan Kota Bharu-Pasir Mas dan km 5-14 Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, Tanah Merah (Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli).

"Sementara itu di Kuala Krai (km 57-60 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Kampung Keroh), Jeli (km 115-125 Jalan Jeli-Grik), Tumpat (km 3-7 Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor), Bachok (Jalan Jelawat-Beris Lalang-Tok Bali) dan Pasir Puteh (km 47-51 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, Bukit Yong) masing-masing melibatkan satu kawasan panas yang sering berlaku kemalangan maut," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat 18/22 Sempena Hari Raya Aidilfitri di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Jawa di sini pada Rabu.

Hadir sama Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah.

Menurutnya, penempatan anggota secara bergerak dan bergilir-gilir di lokasi-lokasi maut itu akan dilakukan dari masa ke masa.

Muhamad Zaki (dua dari kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat 18/22 Sempena Hari Raya Aidilfitri di Stesen Penguatkuasa JPJ Bukit Jawa, Pasir Puteh pada Rabu.
Muhamad Zaki (dua dari kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat 18/22 Sempena Hari Raya Aidilfitri di Stesen Penguatkuasa JPJ Bukit Jawa, Pasir Puteh pada Rabu.

Beliau berkata, langkah ini supaya masyarakat dapat melihat kehadiran pihak berkuasa di kawasan tersebut.

Muhamad Zaki berkata, pendekatan tersebut merupakan salah satu usaha melihatkan langkah itu mampu mengurangkan risiko kemalangan atau sebaliknya.

"Jikalau langkah itu tidak sesuai, kita akan mencari altenatif lain dalam menyelesaikan masalah tersebut.

"Saya harap pengguna jalan raya dapat mematuhi segala peraturan bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini daripada berlaku," katanya.

Mengulas mengenai Op Selamat, Muhamad Zaki berkata, pihaknya masih lagi mengekalkan objektif yang sama iaitu berkait dengan aspek keselamatan jalan raya dan di rumah.

"Alhamdulillah untuk program ini kita mendapat sokongan penuh dari JPJ, bomba dan agensi kerajaan lain samaada secara langsung atau tidak," katanya.