Bekalan ayam di Johor cukup, tiada manipulasi harga

Thing Han (kiri) bersama pegawai serta penguat kuasa KPDNHEP Johor meninjau harga ayam selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2022 di sebuah pasar raya dalam KSL City Mall, Johor Bahru pada Selasa.
Thing Han (kiri) bersama pegawai serta penguat kuasa KPDNHEP Johor meninjau harga ayam selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2022 di sebuah pasar raya dalam KSL City Mall, Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor memberi jaminan bekalan ayam di negeri ini mencukupi selain akan memantau harganya supaya tidak dimanipulasi menjelang dan selepas Aidilfitri.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Thing Han berkata, setakat ini bekalan dan harga ayam di negeri ini terkawal.

"Cuma sebelum ini kita ada terima aduan di peringkat runcit harga ayam naik sehingga RM10 tetapi KPDNHEP telah buat tindakan penguatkuasaan.

"Peniaga, peruncit dan semua pihak terbabit diminta mematuhi harga ayam RM8.90 sekilogram yang sudah ditetapkan kerajaan.

"Kita mohon kerjasama peniaga, syarikat terbabit dan pasar raya bantu keluarga Malaysia dan Bangsa Johor untuk tidak menaikkan harga," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan pemeriksaan dan tinjauan barang keperluan sempena pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2022 di sebuah pasar raya dalam KSL City Mall di sini pada Selasa.

Turut hadir Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Johor, Mohd Hanizam Kechek dan 15 anggota penguat kuasa kementerian berkenaan.

Thing Han berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Seramai 200 anggota penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negeri akan mempertingkatkan penguatkuasaan dan pemantauan bagi memastikan harga barangan berpatutan serta stabil.

"Pengguna boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan salah laku peniaga sepanjang tempoh skim itu dilaksanakan iaitu dari 26 April hingga 7 Mei ini dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kepada pihak kementerian," katanya.