Real Madrid mampu bangkit di Santiago Bernabeu

Benzema berjaya meledak dua gol ketika Real tewas kepada City dalam aksi separuh akhir UCL di Stadium Etihad awal pagi tadi.
Benzema berjaya meledak dua gol ketika Real tewas kepada City dalam aksi separuh akhir UCL di Stadium Etihad awal pagi tadi.
A
A
A

PENYERANG Real Madrid, Karim Benzema optimis pasukannya mampu bangkit dari kekalahan 4-3 kepada Manchester City pada perlawanan timbal balik kedua separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah di Santiago Bernabeu minggu hadapan.

Justeru penyerang kelahiran Perancis itu memberi amaran kepada City agar berwaspada dengan ancaman yang akan diberikan The Galacticos dalam misi mereka layak ke perlawanan akhir.

“Kalah bukan sesuatu yang bagus kerana kami merupakan satu pasukan yang sangat pentingkan kemenangan. Bagaimanapun saya yakin kekalahan ini langsung tidak akan melemahkan semangat kami.

“Justeru saya memberi amaran kepada penyokong (Real) supaya bersedia untuk melihat satu perlawanan yang hebat di Santiago Bernabeu. Kami akan menang pada perlawanan tersebut,” katanya.

Dalam aksi separuh akhir pertama, Real ketinggalan dua gol sebanyak tiga kali pada aksi yang berlangsung di Stadium Etihad namun bangkit untuk hanya tewas tipis 4-3 pada perlawanan tersebut.

Untuk rekod, Stadium Bernabeu sebelum ini pernah menjadi saksi dua perlawanan dramatik pusingan kalah mati Liga Juara-Juara musim ini di mana Real berjaya bangkit daripada kekalahan pertama 0-1 kepada Paris Saint-Germain ketika pusingan 16 terbaik yang menyaksikan Benzema meledakkan hatrik untuk menang 3-1.

Bukan itu sahaja, The Galactico juga berjaya menang ke atas Chelsea dengan agregat 5-4 pada perlawanan suku akhir kedua yang mana Benzema turut menjadi wira buat Real pada aksi tersebut.

Penyerang Perancis itu kini sudah meledakkan 14 gol dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini.