Rusia hentikan bekalan gas asli ke Poland, Bulgaria

Rusia akan menghentikan bekalan gas asli ke Poland dan Bulgaria mulai Rabu.
Rusia akan menghentikan bekalan gas asli ke Poland dan Bulgaria mulai Rabu.
A
A
A

WARSAW - Rusia akan menghentikan bekalan gas asli ke Poland dan Bulgaria mulai Rabu, menurut syarikat tenaga dan pihak berkuasa.

Syarikat minyak dan gas Poland PGNiG memaklumkan pada Selasa bahawa syarikat tenaga Rusia Gazprom akan menggantung bekalan gas ke negara itu mulai petang Rabu.

"PGNiG telah menerima surat daripada Gazprom yang mengumumkan penggantungan bekalan di bawah kontrak Yamal," menurut PGNiG dalam satu kenyataan.

PGNiG juga memaklumkan bekalan gas ke Poland terjamin kerana ia mempunyai sambungan saluran paip dengan negara jiran dan terminal gas asli cecair (LNG) di barat laut negara itu.

Alasan diberikan Gazprom terhadap penggantungan itu disebabkan keengganan PGNiG membayar dalam rubel, lapor Xinhua memetik Agensi Akhbar Poland.

Perdana Menteri Poland, Mateusz Morawiecki mengesahkan menerima notis daripada Gazprom untuk menggantung bekalan gas.

Rusia pada masa sama membekalkan hampir semua keperluan gas Bulgaria, juga akan menggantung bekalan ke negara Balkan itu pada Rabu, menurut Kementerian Tenaga Bulgaria pada petang Selasa.

Pihak berkuasa Bulgaria telah mengambil langkah sewajarnya bagi mencari alternatif kepada bekalan gas asli.

Pada masa ini, tiada sekatan penggunaan gas di Bulgaria. - Bernama