X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Pejuang mahu lihat pendekatan agenda 'khemah besar'

Mukhriz
A
A

KOTA KINABALU - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mahu melihat pendekatan bagaimana agenda 'khemah besar' yang dibawa Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, pihaknya ada mengadakan perbincangan dengan wakil PH untuk mendengar maksud khemah besar yang dikatakan mereka sebelum ini.

"Kita hendak dengar apa sebenarnya maksud mereka bila bercakap mengenai khemah besar ini. Apa peranan setiap parti termasuk kami yang dianggap sebagai parti yang kecil hanya empat ahli Parlimen, kita tidak sampai setahun jagung lagi.

"Jadi kita mahu beri ruang kepada mereka untuk menerangkan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan khemah besar," katanya ketika sidang akhbar sempena majlis berbuka puasa bersama Pejuang Sabah di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung agenda khemah besar yang dicadangkan PH sebelum ini.

Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, pada PRU14 lalu khemah besar yang diwujudkan memberi ruang kepada semua parti tanpa mengira berapa banyak kerusi yang parti itu miliki.

"Kalau kita ingat zaman PH, pasca PRU14 khemah besar yang kita wujudkan ketika itu memberi ruang kepada semua parti, jadi tidak kiralah berapa jumlah kerusi yang dimenangi sekali pun.

"Tetapi penyertaan dalam jemaah menteri contohnya seimbang, itu satu pendekatan. Jadi kita hendak faham pendekatan sebegitu diamalkan atau pun ada pihak tertentu yang akan mendomimasikan khemah tersebut," katanya.

Bercakap mengenai kerjasama dengan blok pembangkang lain, Mukhriz berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain.

"Kita sebenarnya bersikap terbuka untuk berbincang dan berunding dengan sesiapa sahaja. Sikap terbuka ini kita amalkan bukan hanya di Sabah tentunya juga di Semenanjung.

"Buat masa ini, kita belum lagi mendapat sebarang keputusan, perbincangan itu saya rasa tidaklah sampai tahap rundingan dan ia belum lagi berhasil," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!