Taman tema biawak tarikan baharu di Melaka

Melaka Pirate Park yang terbiar akan dijenamakan semula sebagai Taman Sigua atau biawak sebagai salah satu lokasi pelancongan di Melaka. Gambar kecil: Murad
Melaka Pirate Park yang terbiar akan dijenamakan semula sebagai Taman Sigua atau biawak sebagai salah satu lokasi pelancongan di Melaka. Gambar kecil: Murad
A
A
A

MELAKA - Taman Tema Air, Melaka Pirate Park di Jalan Tun Ali di sini, yang sekian lama terbiar akan dijenamakan semula sebagai Taman Sigua atau biawak sebagai salah satu lokasi pelancongan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin, berkata, taman tema tersebut terpaksa ditutup sebelum ini kerana terdapat masalah dan kerosakan peralatan yang boleh membahayakan pengunjung.

Menurutnya, penjenamaan semula kawasan itu dan usaha menaik taraf lokasi itu bakal menelan kos kira-kira RM8juta sekali gus mampu mewarnai produk pelancongan di Sungai Melaka bermula tahun ini.

"Kita rancang untuk jenamakan taman tema itu yang sinonim dengan imej biawak yang banyak didapati di Sungai Melaka.

“Apabila siap sepenuhnya, pengunjung yang menaiki Melaka River Cruise (MRC) berpeluang untuk masuk ke taman tema ini dengan pakej-pakej menarik yang bakal ditawarkan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pemberita selepas berbuka puasa dan majlis penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang di Bandaraya Melaka di sini pada Isnin.

Hadir sama Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, PPSPM juga menyasarkan seramai 700,000 pengunjung akan menggunakan perkhidmatn MRC sepanjang tahun ini.

Ujarnya, sasaran itu tidak mustahil dapat dicapai berdasarkan kehadiran seramai 167,688 orang direkodkan pada suku tahun pertama.

"MRC merekodkan kehadiran pelancong seramai 319,671 orang pada tahun lalu dengan jumlah keseluruhan sejak mula diperkenalkan pada tahun 2006 seramai 12,091,905 orang," katanya.