ACL: JDT fokus menang baki perlawanan Kumpulan I

Benjamin Mora - Foto Bernama
Benjamin Mora - Foto Bernama
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Ketua Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora mahu anak buahya fokus untuk memperoleh kemenangan dalam kedua-dua baki perlawanan Kumpulan I, Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (ACL) menentang Guangzhou FC, esok dan Ulsan Hyundai pada 30 April.

Beliau percaya anak buahnya akan melakukan yang terbaik, terutama selepas juara dari Jepun Kawasaki Frontale kini meningkat pada kedudukan teratas kumpulan.

"Kita tidak perlu memikirkan tentang Ulsan dan Kawasaki (dari segi mata), kita juga tidak kisah apa yang berlaku di sana, tetapi adalah penting bagi kami ialah sasaran mengutip tiga mata esok dan tiga lagi mata ketika menentang Ulsan.

"Itu adalah objektif kami, mengumpul enam mata dan kami tidak memikirkan apa yang orang lain boleh lakukan. Kami perlu memikirkan tentang pasukan kami dan dari situ, selepas kedua-dua perlawanan, pengiraan akan dibuat dan kemudian kami akan melihat apa yang akan berlaku, tetapi kami tidak boleh bergantung kepada keputusan yang lain,” katanya pada sidang media praperlawanan, di sini pada Selasa.

Menurut Mora, tiada perubahan besar akan dilakukan terhadap skuad, namun mengakui akan mempertaruhkan barisan muka baharu dalam perlawanan menentang JDT, esok.

"Kita akan pertaruhkan muka-muka baharu dan beberapa pemain sudah pulih selepas tidak beraksi dalam perlawanan terakhir, jadi kami cuba pertaruhkan yang terbaik buat masa ini. Saya percaya kita perlu memberi peluang kepada pemain pada masa yang sesuai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Guangzhou FC Pan Yonghe berkata, pasukannya bersedia untuk berdepan risiko untuk mematahkan barisan pertahanan JDT.

"Jadi, untuk perlawanan seterusnya, pertama kali berdepan JDT, semestinya kami akan memberi sedikit tekanan kepada pertahanan pihak lawan. Tetapi di pihak kami, kita akan berusaha memperbaiki aspek pertahanan dan pemain juga tidak sabar-sabar untuk menjaringkan gol esok dan saya pasti mengenainya,” katanya.

Kawasaki Frontale kini mendahului Kumpulan I dengan lapan mata, Ulsan Hyundai dan JDT masing-masing mengutip tujuh mata manakala Guangzhou, yang mengalami kekalahan keempat berturut-turut, berada pada kedudukan terakhir tanpa sebarang mata. - Bernama