RUU tukar parti masih dalam proses muktamad: Wan Junaidi

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen masih dalam proses untuk memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) (Pindaan) (No.3) 2022, termasuk penetapan dasar berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Jawatankuasa itu juga mengambil keputusan untuk mendapatkan pandangan bertulis daripada badan bukan kerajaan, parti-parti politik dan pakar akademik berkaitan parameter gubalan RUU tersebut selaras dengan usul yang dikemukakan.

“Bagaimanapun Jawatankuasa ini perlu memastikan kerahsiaan perbincangan dan dokumen yang diteliti perlu dijaga selaras dengan Peraturan 85 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat ketiga Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen tersebut pada Selasa.

Mesyuarat pertama telah berlangsung pada 15 April 2022 diikuti dengan mesyuarat seterusnya pada 21 April 2022.

Jawatankuasa Plihan Khas Parlimen itu turut dianggotai Datuk Sri Azalina Othman Said (Ahli Parlimen Pengerang); Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Ahli Parlimen Padang Rengas); Datuk Seri Hamzah Zainudin (Ahli Parlimen Larut) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Ahli Parlimen Kota Bharu).

Selain itu, Tuan Lukanisman Awang Sauni (Ahli Parlimen Sibuti); Tuan Gobind Singh Deo (Ahli Parlimen Puchong); Tuan Mohamed Hanipa Maidin (Ahli Parlimen Sepang); Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Ahli Parlimen Tuaran); Datuk Seri Saifuddin Nasution (Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu) dan Datuk Ignatius Dorell Leiking (Ahli Parlimen Penampang).

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, berdasarkan siri mesyuarat tersebut, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara dasar mengenai gubalan RUU berkenaan.

Katanya, ia sepertimana usul Peraturan Mesyuarat 54(2) dan Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas di bawah Peraturan 81(1) yang telah diluluskan semasa sidang Majlis Khas pada 11 April 2022 yang lalu.

“Selain itu, Jawatankuasa Plihan Khas Parlimen boleh melanjutkan tempoh pembentangan penyata selaras dengan usul di atas,” katanya.