Pengguna jalan raya ada waran tangkap akan ditahan

Razarudin (dua, kanan) melancarkan Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 di Menara TM di sini pada Selasa.
Razarudin (dua, kanan) melancarkan Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 di Menara TM di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menahan pengguna jalan raya yang dikesan memiliki waran tangkap lampau sepanjang Op Selamat yang berlangsung dari 29 April hingga 8 Mei ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, sepanjang tempoh 10 hari Op Selamat itu, individu yang memiliki waran tangkap akan dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya.

"Manakala mereka yang memiliki saman tertunggak akan diminta menjelaskan saman tersebut," katanya pada sidang akhbar pada majlis pelancaran Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 di Menara TM di sini pada Selasa.

Razarudin berkata, pihaknya akan mengoptimumkan penggunaan alat 'In-Car Radar' di sepanjang lebuh raya dan jalan raya utama sepanjang Op Selamat itu.

"Alat tersebut membolehkan semua kereta peronda polis mengesan mana-mana kenderaan yang terbabit dalam kegiatan jenayah serta pemilik yang memiliki rekod jenayah dikehendaki polis.

"Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) juga akan menggunakan alat iCOPS yang turut diperluaskan bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap trafik pada operasi kali ini," katanya.

Op Selamat 18, Sempena Hari Raya Aidilfitri 2022, adalah kolaborasi antara PDRM dan Telekom Malaysia Berhad (TM) yang memfokuskan dua objektif utama iaitu keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan dan meminimumkan kes kemalangan jalan raya terutamanya kemalangan maut.

Razarudin berkata, seluruh jentera PDRM di peringkat Kontinjen yang melibatkan anggota-anggota balai dan kereta peronda MPV, Unit Rondaan Bermotosikal (URB), rondaan bit serta risikan dan operasi, akan diatur gerak secara holistik dan sistematik.

"JSPT akan menggunakan pendekatan berteraskan 'Total Enforcement and Services' iaitu menjalankan penguatkuasaan operasi secara tegas dan bersasar bagi menurunkan kadar kemalangan biasa dan kemalangan maut," ujarnya.

Razarudin berkata, pihaknya menjangkakan jumlah kenderaan yang akan berada pada satu-satu masa di lebuh raya pada musim perayaan ini adalah antara dua hingga empat juta kenderaan.

"Kita menjangkakan jumlah kenderaan bermula Jumaat ini membabitkan mereka yang ingin pulang berhari raya di kampung di seluruh negara mencecah antara dua hingga empat juta.

"Sehubungan itu, JSPT dan agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan akan bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan bagi memastikan keselamatan pengguna diutamakan selain kelancaran lalu lintas," katanya.