2 juta kenderaan ke Perak sempena Aidilfitri

Mohd Zolkafly (kanan) menyarungkan topi keledar kepada penunggang motosikal pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri Negeri Perak di Plaza Tol Ipoh (U) arah selatan, pada Selasa.
Mohd Zolkafly (kanan) menyarungkan topi keledar kepada penunggang motosikal pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri Negeri Perak di Plaza Tol Ipoh (U) arah selatan, pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Perak dijangka menerima kehadiran kira-kira dua juta kenderaan sehari di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) bermula 30 April ini sempena Hari Raya Aidilfitri.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, jumlah tersebut termasuk yang melalui negeri ini untuk ke utara dan selatan tanah air.

Menurutnya, peningkatan tersebut disebabkan orang ramai pulang ke kampung ditambah lagi dengan pemberian tol percuma yang diumumkan kerajaan.

"Selain itu, Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM) juga telah mengarahkan semua kerja-kerja penyelenggaraan di sepanjang lebuh raya hendaklah diberhentikan bermula pada 29 April hingga 9 Mei.

"Ini bermakna tidak akan ada kerja penyelenggaraan di Lebuhraya PLUS untuk memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri Negeri Perak di Plaza Tol Ipoh (U) arah selatan pada Selasa.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohammad Yusoff Abustan dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Deputi Superintenden Roslan Mohamed@Ab. Aziz.

Mohd Zolkafly berkata, bagi mengurangkan kesesakan di lebuh raya, pengguna boleh menggunakan jalan alternatif melalui Jalan Persekutuan.

Menurutnya, jalan-jalan ini juga dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

"Kita harap pengguna jalan raya dapat menitikberatkan soal keselamatan dan kita berharap mereka sentiasa dalam keadaan sabar, tenang tidak tergopoh-gapah dan tidak terlalu teruja kerana dah dua tahun kita tidak beraya

"Bila ada satu perasaan teruja sangat nak balik kampung, ia boleh menyebabkan kemungkinan-kemungkinan dan dia lupa peraturan jalan raya," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sempena kempen tersebut, JPJ Perak akan melancarkan Operasi Bersepadu bermula pada 29 April hingga 8 Mei depan melibatkan pelbagai agensi.