Mungkin ada penglibatan ahli politik lindungi kartel ayam: KPDNHEP

Alexander menunjukkan ayam yang dijual di sebuah pasar raya di Nilai.
Alexander menunjukkan ayam yang dijual di sebuah pasar raya di Nilai.
A
A
A

NILAI - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi tidak menolak kemungkinan wujud penglibatan ahli politik dalam melindungi kartel industri ayam.

Menurutnya, bagaimanapun masih belum ada bukti mengenainya dan siasatan sedang dilakukan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

"Buat masa ini yang dikatakan penglibatan ahli politik itu kita hanya baca dalam surat khabar, tapi yang pentingnya MyCC sedang jalankan siasatan.

"Ini bukan perkara mudah kerana siasatan perlu dilakukan dengan teliti dan menyeluruh dan tak boleh terlalu cepat mengatakan ada kartel.

"Tapi saya tak nafikan dan tak juga mengesahkan ada, elok tunggu laporan MyCC," katanya pada sidang media selepas majlis Pelancaran Program Jualan Malaysia Rancak Aidilfitri dan Walkabout Sempena Penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Aidilfitri 2022 di sebuah pasar raya di sini pada Selasa.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama kementerian dan agensi lain memberi kerjasama penuh bagi membantu siasatan.

"Kita tunggulah bila dah dibuat laporan nanti dan siapnya siasatan yang mana ia bukan saja daripada KPDNHEP, tapi turut melibatkan kementerian dan agensi lain.

"KPDNHEP sememangnya ada peranan dalam itu kerana kita kementerian yang mengawal harga barang. Tapi biarlah kita tunggu dulu dan kita bersama kementerian dan agensi lain akan lakukan yang sepatutnya.

Selain itu katanya, KPDNHEP tidak menerima sebarang aduan bekalan ayam tidak mencukupi menjelang Aidilfitri ini, namun pemantauan sentiasa dilakukan.

Bercakap mengenai program skim kawalan harga barang yang hanya pada musim perayaan, Alexender berkata, kerajaan bukan saja melindungi pengguna, tetapi juga peniaga.

"Kita bukanlah memihak kepada sesiapa, tapi perlulah adil kepada semua. Kalau perniagaan peniaga terjejas akan timbulkan masalah lain pula," katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, berikutan kemungkinan kesesakan luar biasa berlaku sempena musim perayaan kali ini, KPDNHEP menyarankan semua pengusaha stesen minyak memastikan bekalan petrol mencukupi.

"Dah dua tahun kita tidak dapat balik beraya dan semestinya jalan raya akan sesak dengan kenderaan.

"Jadi saya harap semua pengusaha stesen minyak dapat bekerjasama memastikan bekalan petrol mencukupi untuk memastikan kelancaran perjalanan," katanya.