Tandatangani perjanjian tambahan, tingkat kecekapan perkhidmatan air

Saiful Zaini (kanan) ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Utama
Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang di Pejabat Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di Putrajaya, pada Selasa.
Saiful Zaini (kanan) ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang di Pejabat Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di Putrajaya, pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) menandatangani Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang bagi menambah baik kecekapan serta kualiti perkhidmatan air kepada pengguna di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Paip, Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, melalui termeterainya perjanjian tambahan itu, pelaksanaan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang boleh dikuatkuasakan.

"Melalui langkah ini, Paip akan dapat menambah baik kecekapan serta kualiti perkhidmatan air kepada pengguna dengan beberapa fokus utama. Antaranya menambah rizab kapasiti pengeluaran dengan membina beberapa loji rawatan air yang baharu di negeri ini.

"Pada masa sama kerja-kerja menaik taraf loji sedia ada dan menggantikan paip lama dan usang dapat dijalankan bagi mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) Pembinaan sistem bekalan air baharu akan dilaksanakan merangkumi pembinaan tangki agihan, pemasangan paip dan sistem mekanikal dan elektrikal," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Saiful Zaini berkata, fokus utama yang akan dilaksanakan itu seiring dengan objektif Paip untuk meningkatkan kapasiti bekalan dan tekanan air kepada pengguna di Pahang.

Menurutnya, melalui perjanjian tambahan penstrukturan semula industri perkhidmatan air itu, Paip akan mendapat akses kepada kemudahan pinjaman Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bagi pembangunan aset air di negeri itu melalui pendekatan ‘build and lease’ pada kadar kompetitif berbanding pembiayaan komersial.

"Perkara ini membolehkan Paip memulakan penambahbaikan kecekapan dan peningkatan kualiti perkhidmatan air kepada pengguna," katanya.

Perjanjian Tambahan itu melibatkan empat pihak di mana KASA diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang manakala Kerajaan Negeri Pahang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Sementara itu, Pengurusan Aset Air Pahang Berhad (PAAB) diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Hadi Ali manakala Saiful Zaini bagi pihak Paip.

Hadir sama dalam majlis itu,Timbalan Menteri Alam Sekitar

dan Air, Datuk Mansor Othman dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.