Warga Singapura kembali hidup normal

Aplikasi TraceTogether tidak lagi digunakan untuk mendaftar masuk dan keluar dari premis. - Foto: AFP
Aplikasi TraceTogether tidak lagi digunakan untuk mendaftar masuk dan keluar dari premis. - Foto: AFP
A
A
A

SINGAPURA - Aktiviti di Daerah Pusat Perniagaan (CBD) Singapura kembali normal pada Selasa selepas peraturan Covid-19 yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu dilonggarkan di bawah strategi 'hidup' dengan virus tersebut.

Susulan ancaman pandemik itu yang telah diturunkan daripada kod warna jingga kepada kuning, kesemua kakitangan kini boleh kembali bertugas di pejabat di samping mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh majikan.

Pekerja institusi perbankan, Ryan Lim, 29, yang bertugas di pejabat secara bergilir-gilir sejak dua bulan lalu memaklumkan dia akan kembali ke tempat kerja pada setiap hari bermula pada minggu ini.

"Saya berasa lebih mudah untuk berbincang dengan rakan sekerja dan produktif," katanya sambil menambah terdapat pro dan kontra bekerja dari rumah kerana lebih fleksibel, namun dia lebih selesa berada di pejabat.

Sementara itu, pekerja pentadbiran, Irene Lim, 58, juga menyambut baik langkah yang membenarkan kakitangan kembali bertugas di pejabat pada kapasiti penuh.

"Kami akan kembali hadapi situasi sesak di stesen Transit Aliran Massa (MRT). Saya anggarkan jumlah penumpang boleh mencecah kira-kira 70 peratus pada tahap pra Covid-19. Keadaan kini kembali normal dan terlalu padat," ujarnya.

Sebagai sebahagian daripada langkah pelonggaran itu yang diumumkan pada minggu lalu, had saiz kumpulan bagi pertemuan sosial dan penjarakan fizikal juga ditarik balik selain turut menyaksikan orang ramai tidak lagi perlu mengimbas aplikasi TraceTogether di Stesen SafeEntry (SafeEntry Gateway Box).

Menurut pelajar dikenali sebagai Kaslyn Neo, 18, keadaan kini sangat berbeza kerana kebanyakan individu sudah terbiasa mengimbas aplikasi TraceTogether apabila mahu memasuki mana-mana premis perniagaan.

"Ia mungkin mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri. Namun, saya rasa lebih mudah kerana hanya perlu masuk dan keluar seperti biasa," katanya.

Bagi penghantar perkhidmatan Grab, Ken Choo, langkah pelonggaran itu memberi sedikit kelegaan kerana dia tidak lagi perlu mengimbas daftar masuk dan keluar sebanyak 20 hingga 40 kali sehari.

Bagaimanapun, Alex Low, 62, agak skeptikal dengan langkah menarik semula penggunaan aplikasi TraceTogether.

"Saya tertanya-tanya jika kes meningkat selepas ini. Kita tidak tahu bagaimana situasi boleh berubah kerana kita hanya melihat kadar jangkitan selepas ini," katanya. - Agensi