Polis klasifikasi semula kes lelaki terjatuh kepada kes bunuh

Soffian
Soffian
A
A
A

GEORGETOWN - Polis telah mengklasifikasikan semula sebagai kes bunuh berhubung seorang lelaki warga Indonesia yang ditemui mati dalam keadaan kaki kirinya dirantai dengan rantai besi pada kerusi di sebuah pangsapuri di Jelutong, di sini dalam kejadian 22 April lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil daripada bedah siasat ke atas mayat mangsa pada 11.30 pagi Selasa, polis mengklasifikasikan semula kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, ia berikutan, terdapat beberapa perkara yang mencurigakan dalam insiden tersebut terutamanya penggunaan rantai besi pada kaki mangsa.

"Hasil bedah siasat oleh Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, punca kematian mangsa adalah kerana kecederaan parah pada kepala dan tulang pinggul akibat terjatuh daripada tempat tinggi. Selain itu, mangsa juga disahkan positif Covid-19.

"Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas mayat mendapati tiada ditemui tanda-tanda pergelutan berlaku sebelum kejadian. Berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan, polis mengkalsifikasikan semula kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Katanya lagi, selain terdapat beberapa perkara yang mencurigakan, tindakan rakan serumah mangsa yang melarikan diri sejurus kejadian juga telah menimbulkan keraguan.

"Sehubungan itu, kira-kira jam 12.10 tengah malam tadi (Selasa), polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut berjaya mengesan dan menangkap rakan serumah mangsa yang melarikan diri selepas kejadian.

"Tangkapan dibuat di sebuah hotel di Jalan Penang di sini. Selain itu, kita turut menahan seorang lagi suspek berusia 45 tahun untuk membantu siasatan. Suspek yang merupakan warga tempatan itu ditahan pada jam 1.30 pagi tadi. Dia ditahan di sebuah rumah di Jalan Lintang Air Itam bagi membantu siasatan," katanya.

Soffian menambah, kedua-dua tangkapan ditahan reman selama empat hari sehingga 29 April ini bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, mayat seorang lelaki warga Indonesia ditemukan dalam keadaan kaki kirinya diikat dengan rantai besi selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah inap desa di Eastern Court, Jelutong, di sini.

Mangsa berusia 33 tahun itu dijumpai orang awam di pekarangan tempat letak kereta kira-kira jam 5.30 petang.

Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati, mangsa mengalami pendarahan pada bahagian kepala selepas terjatuh dari salah sebuah bilik di kediaman yang disewanya bersama seorang rakan berketurunan Cina.

Siasatan awal polis mendapati, mangsa dan rakannya datang dari Melaka dan mula menyewa kediaman tersebut sejak 13 April lalu.

Mangsa masuk ke negeri ini menggunakan laluan laut dari Dumai pada 23 Mac lalu.