RM3.34 juta bantu rakyat Selangor sambut Aidilfitri

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM3.34 juta menerusi inisiatif Jom Shopping Raya bagi membantu meringankan beban rakyat kurang berkemampuan menyambut Aidilfitri.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan itu membabitkan 33,400 rakyat di seluruh negeri dan disalurkan ke 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Menurutnya, inisiatif kempen Jom Shopping Raya itu dilaksanakan kerana kerajaan negeri menyedari bahawa beban kewangan yang kini ditanggung rakyat susulan kenaikan harga barang.

“Sempena Aidilfitri tahun ini, sebanyak RM3.34 juta telah diperuntukkan untuk 33,400 rakyat Selangor menerusi pemberian baucar bagi membeli barang keperluan asas.

“Ia disalurkan menerusi 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya dapat meringankan beban keluarga memerlukan bagi menyambut lebaran,” katanya di laman Facebooknya pada Selasa.

Kempen Jom Shopping Raya diperkenalkan kerajaan Selangor dengan menyasarkan golongan B40 sebagai inisiatif jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.