Polis Shah Alam buru pemandu kereta langgar penunggang motosikal

Tangkap layar memaparkan kejadian pemandu sebuah kereta melanggar seorang penunggang motosikal di laluan motosikal di Lebuh Raya Persekutuan, Shah Alam pada 9 April lalu yang tular di media sosial.
Tangkap layar memaparkan kejadian pemandu sebuah kereta melanggar seorang penunggang motosikal di laluan motosikal di Lebuh Raya Persekutuan, Shah Alam pada 9 April lalu yang tular di media sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis memburu seorang pemandu kereta yang disyaki melanggar seorang penunggang motosikal di Kilometer 12.5 Lebuh Raya Persekutuan, pada 9 April lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu berlaku apabila mangsa berusia 40 tahun sedang menunggang motosikal menghala ke Klang di laluan motosikal di lebuh raya tersebut.

"Sebuah kereta dari arah belakang melanggar motosikal ditunggang mangsa menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan di muka dan tangan sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Sarjan Wan Zafirah Wan Mohd Sukri di talian 017-5718125.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

Pada Isnin, satu rakaman video memaparkan kejadian terbabit dipercayai dirakam pengguna jalan raya lain yang berdurasi dua minit empat saat tular di media sosial.