Lelaki ditahan jual mercun, bunga api

Antara mercun dan bunga api yang dirampas daripada seorang lelaki di hadapan sebuah premis di Dengkil, Sepang, pada Isnin.
Antara mercun dan bunga api yang dirampas daripada seorang lelaki di hadapan sebuah premis di Dengkil, Sepang, pada Isnin.
A
A
A

SEPANG - Seorang lelaki ditahan kerana menjual mercun secara haram di hadapan sebuah premis di Dengkil, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira jam 9 malam dan polis merampas pelbagai jenis mercun serta bunga api.

"Kesemua bunga api dan mercun bernilai RM1,000 itu dirampas selepas suspek gagal mengemukakan permit menjual barangan itu," katanya kepada Sinar Harian, pada Selasa.

Beliau berkata, suspek dan kesemua rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati, suspek memperoleh bekalan mercun itu daripada kenalannya dan polis sedang mengesan rakan suspek itu.

"Suspek direman dua hari untuk siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.