Umpama gesekan biola!

Pertandingan wau pungguk atau cenderawasih diadakan semula bagi memartabatkan permainan tradisional yang semakin dilupakan itu.
Pertandingan wau pungguk atau cenderawasih diadakan semula bagi memartabatkan permainan tradisional yang semakin dilupakan itu.
A
A
A
PEKAN - Wau pungguk atau cenderawasih antara permainan wau yang diminati di Pahang suatu ketika dahulu, kini mula diperkenalkan semula.

Usaha memperkenalkan permainan wau pungguk dilakukan lebih 50 peserta tempatan di Pulau Kucing, di sini.

Penganjur, Sharifah Balkis Syed Azemmant berkata, pertandingan julung kali diadakan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai jenis masyarakat dari beberapa kampung tradisional di daerah ini.

Katanya, pertandingan ini diadakan bagi memartabatkan semula permainan tradisi masyarakat Melayu yang kini semakin dilupakan, sekali gus memelihara seni permainan tradisional warisan nenek moyang yang begitu terkenal suatu ketika dahulu.

“Istimewanya wau jenis pungguk ialah menghasilkan bunyi dengung menyerupai gesekan biola ketika ia diterbangkan, bunyi terhasil dari gandar atau busurnya yang diperbuat daripada batang pinang atau nibong.

“Tidak ramai individu yang memiliki kemahiran menghasilkan wau jenis berkenaan yang menjadi tarikan utama setiap kali berada di udara,” katanya.

No Image Caption

Sementara itu, peserta, Mohammad Khairi Ahmad, 32 dari Kampung Panchor, di sini, berkata, dia meminati permainan wau sejak kecil hingga kini dan menjadikan kawasan sawah padi sebagai gelanggang mempamerkan kebolehan.

Jelasnya, arwah ayahnya seorang pembuat wau pungguk yang terkenal di daerah ini suatu ketika dahulu dan dia didedahkan dengan teknik pembuatan wau itu sejak dari kecil.

Artikel Berkaitan:

“Ini permainan saya sejak dari kecil lagi. Ramai yang tidak mengetahui keistimewaan pada wau pungguk dari bunyi dan lenggok ketika berada di udara memulai setiap mata yang memandangnya.

“Jadi, sebab itu saya berharap agar usaha memperkenalkan permainan wau Pahang perlu diteruskan,” katanya.

Mohammad Khairi berkata, dia mengambil masa tiga hingga lima hari untuk menyiapkan wau pungguk dengan berat lebih tiga kilogram (kg), untuk menariknya memerlukan berkelajuan angin lebih 40 knot secara berterusan.

Menurutnya, dia dan rakan-rakan biasa menyertai pertandingan wau di beberapa negeri, cara berkenaan antara usaha memperkenalkan permainan tradisional itu kepada generasi muda.

“Saya berharap golongan muda memainkan peranan dalam memartabatkan permainan tradisional wau Pahang yang menjadi seni warisan turun-temurun sejak berabad lalu agar ia tidak dilupakan dalam lipatan masa,” katanya.