TMJ persoal pemimpin kerajaan, pembangkang senyap isu Bella

Tunku Ismail
Tunku Ismail
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempersoalkan tindakan pemimpin politik daripada pihak kerajaan atau pembangkang yang tidak bersuara berhubung isu penderaan terhadap Bella.

Tunku Ismail berkata, perbuatan mendiamkan diri itu menimbulkan tanda tanya sama ada di antara mereka mempunyai kaitan dengan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 31.

"Berkenaan kes Bella. Mana pergi semua ahli politik yang 'so called pro human rights' ni semua? Senyap je.

"Ada apa-apa kaitan dengan Rumah Bonda ke?" katanya dalam Instagram miliknya.

Tunku Ismail turut mengutarakan persoalan sama ada rumah penjagaan itu terlibat dalam apa-apa aktiviti yang melanggar undang-undang negara apabila dilihat terlalu kebal.

"Adakah beberapa rumah ini semua digunakan pihak-pihak tertentu untuk pengubahan wang haram dan pemerdagangan manusia? Dua-dua belah senyap," soalnya lagi.

Tunku Mahkota Johor turut menamatkan posting berkenaan dengan tanda #justiceforbella.

Pada 19 April lalu, Tunku Ismail telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bagi membincangkan soal pembelaan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) Sindrom Down itu yang sedang dibicarakan di mahkamah ketika ini.

Tunku Mahkota Johor itu menyeru kerajaan agar menambah baik undang-undang semasa melibatkan Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengelak kejadian menimpa Bella berulang.

Tunku Ismail turut melantik empat peguam pemerhati untuk mengikuti prosiding mahkamah melibatkan kes berkenaan.

Kisah Bella, 13, mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia apabila dia didakwa didera dan diabaikan pengasas rumah berkenaan, Siti Bainun.

Mahkamah sebelum ini mengenakan dua pertuduhan terhadap Siti Bainun iaitu mengabaikan dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.