Bilionair Britain rayu Singapura batal hukuman mati warga Malaysia

Richard Branson - Foto AFP
Richard Branson - Foto AFP
A
A
A

SINGAPURA - Seorang bilionair Britain, Richard Branson pada Selasa menggesa Singapura supaya menyelamatkan nyawa seorang warga Malaysia yang mengalami masalah kurang upaya mental dan akan berdepan hukuman mati di negara itu, katanya kepada AFP.

Warga Malaysia itu, Nagaentran K Dharmalingam, 34, telah disabitkan dengan kesalahan mengedar sejumlah kecil heroin di Singapura dan dijadualkan akan menjalani hukuman gantung sampai mati pada Rabu selepas rayuannya ditolak oleh mahkamah negara berkenaan.

Dalam temu bual dengan AFP, Branson yang telah lama berkempen menentang hukuman mati menggesa Presiden Singapura, Halimah Yacob untuk memberikan pengampunan kepada Dharmalingam.

"Kami hanya merayu agar beliau (Halimah) memberikan pengampunan. Kami mohon beliau (Halimah) mempertimbangkan semula sama ada pada zaman ini Singapura patut terlibat dalam urusan menggantung orang. Ia sangat tidak berperikemanusiaan.

"Saya tidak fikir negara bertamadun sepatutnya terlibat dalam urusan membunuh sesiapa pun," tambahnya yang juga merupakan pengasas Syarikat Virgin Galactic.

Pada Mac lalu, Mahkamah Singapura menolak rayuan hukuman mati terhadap Nagaenthren dengan menolak hujah yang dikemukakan oleh pasukan peguamnya bahawa dia harus dikecualikan kerana mengalami masalah kurang upaya secara mental.

Dia ditahan pada usia 21 tahun ketika cuba memasuki Singapura bersama seikat heroin seberat kira-kira 43 gram.

Lelaki itu dikatakan mempunyai mempunyai darjah kecerdasan otak (IQ) yang rendah dan telah dipaksa melakukan jenayah itu. - Agensi