Mohd Rusllim dilantik TNC (Hal Ehwal Pelajar, Alumni) UMP

Yuserrrie (kiri) menyaksikan Mohd Rusllim menandatangani dokumen melapor diri sebagai TNC (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, baru-baru ini.
Yuserrrie (kiri) menyaksikan Mohd Rusllim menandatangani dokumen melapor diri sebagai TNC (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, baru-baru ini.
A
A
A

KUANTAN - Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced (UMPA), Profesor Madya Ts Dr Mohd Rusllim Mohamed dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkuat kuasa 18 April lalu.

Beliau menggantikan Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin yang kini sebagai Naib Canselor UMP.

UMP dalam kenyataannya berkata, Dr Mohd. Rusllim juga merupakan Pengarah Sekretariat Teknologi dan Teknikal (TTAS) Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

Menurut kenyataan itu, beliau memiliki kelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal dari UMP (2013) dan Sarjana Kejuruteraan Elektrikal dari Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (UTHM) pada tahun 2004.

"Beliau mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Kejuruteraan Elektronik daripada University of Warwick, Coventry, United Kingdom (1999-2001) selepas menamatkan pengajian Diploma Kejuruteraan Elektrikal (Kuasa) daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 1998.

"Mempunyai pengalaman yang luas dalam pengurusan dan kepimpinan, beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Pusat Kualiti dan Pematuhan Akademik (PKPA) pada tahun 2020," kata kenyataan itupada Selasa.

Menurut kenyataan itu lagi, Dr Mohd Rusllim pernah dilantik sebagai Pengarah Inovasi dan Daya Saing Akademik (CAIC) pada tahun 2015 hingga 2019.

"Beliau juga pernah menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik 2013 (Kejuruteraan) dalam bidang pembelajaran dan pengajaran UMP," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Dr Yuserrie berkata, pihak universiti amat berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad atas pelantikan itu.

Menurutnya, dengan pelantikan Dr Mohd Rusllim sebagai TNC (Hal Ehwal Pelajar dan Alumi) itu, UMP akan terus cemerlang untuk menjadi sebuah universiti teknologi terunggul dalam menerajui bidang kejuruteraan dan teknologi di negara ini terutama memperkasa agenda Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi.