2,478 kes baharu Covid-19

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 2,478 kes baharu Covid-19 pada Selasa menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 4,433,551.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah berkenaan melibatkan 2,471 kes tempatan dan tujuh kes import.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 928 kes atau 37.45 peratus merupakan pesakit Covid-19 kategori satu, manakala 1,518 kes atau 61.26 peratus membabitkan kategori dua.

“Sementara itu, sebanyak 16 kes atau 0.65 peratus bagi kategori tiga, 11 kes atau 0.44 peratus untuk empat dan sebanyak lima kes atau 0.20 peratus dalam kategori lima," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan jumlah keseluruhan, sebanyak 16 kes bagi pesakit kategori tiga hingga lima, sembilan kes dilaporkan tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian tersebut.

“Sebanyak 10 kes sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi tidak menerima dos penggalak sementara enam kes lagi sudah menerima dos penggalak.

“Selain itu, 18 kes melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas. 19 kes lagi mempunyai komorbid,” ujarnya.

Tambahnya, sebanyak 98 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 54 daripadanya disahkan Covid-19 manakala kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan pula adalah sebanyak 44 kes.

Dr Noor Hisham turut memberitahu, sebanyak 63 kes memerlukan bantuan pernafasan pula, dengan 36 kes disahkan Covid-19 dan 27 lagi kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Beliau turut memaklumkan negara merekodkan sebanyak 9,215 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif kepada 4,330,037 kes setakat ini.