Penafian bukan perkara baru dalam Pas: Mahfuz

Mahfuz (dua dari kiri) menyerahkan cenderahati kepada pengamal media yang hadir ke Majlis Berbuka Puasa bersama Ahli Kelab Media Elit Kedah (KMEK) petang Isnin.
Mahfuz (dua dari kiri) menyerahkan cenderahati kepada pengamal media yang hadir ke Majlis Berbuka Puasa bersama Ahli Kelab Media Elit Kedah (KMEK) petang Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Penafian demi penafian yang dilakukan oleh pemimpin Pas dalam beberapa isu sejak beberapa tahun lalu bukanlah perkara baru dalam parti tersebut termasuk isu Pas Leak yang tular baru-baru ini.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar menjelaskan, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Penerangan Pas Pusat, beliau pernah diarahkan mengeluarkan kenyataan menafikan wujud rundingan Pas-UMNO.

Bagaimanapun, perkara tersebut disahkan benar oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa berlaku perbincangan pada 20 Julai 2008.

Menurutnya, ekoran kejadian tersebut, beliau terpaksa memohon maaf kepada semua penyokong Pas dan rakyat Malaysia kerana berbohong dengan menyatakan tiada pertemuan Abdullah dengan pemimpin Pas ketika itu.

"Saya ada pengalaman ketika Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) jadi PM dulu. Saya diarahkan membuat penafian dan Pak Lah sendiri yang membocorkan rahsia pertemuan di kalangan mereka (pemimpin Pas tentang rundingan Pas-UMNO).

"Yang keduanya, audio Nik Abduh (Nik Abdul Aziz) semua orang menafikan. Setiausaha Agung menafikan. Semua orang pun menafikan tetapi akhirnya mengakui bahawa itu adalah suara dia. Jadi macam itulah juga dalam konteks Pas Leak ini," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di Alor Setar pada petang Isnin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata demikian selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Ahli Kelab Media Elit Kedah (KMEK).

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, pemimpin Pas juga perlu menjawab dakwaan-dakwaan dalam dokumen tersebut termasuk percaturan untuk mencampuri urusan kehakiman membabitkan beberapa pemimpin UMNO pada hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya, semua orang tahu bahawa dalam kandungan itu menunjukkan perbahasan yang sudah berlaku secara meluas di kalangan pimpinan Pas.

"Jadi sebab itu saya meletakkan bahawa Pas sekarang adalah parti yang tidak boleh dipercayai," ujarnya.

Pada Sabtu lalu, Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan dokumen Pas Leak yang didakwa mengandungi perancangan sulit untuk menjatuhkan pemimpin UMNO bukan sesuatu yang luar biasa dan tidak perlu diperbesarkan.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, berdasarkan pemahamannya setelah meneliti dokumen itu, ia hanyalah catatan pemimpin Pas dalam mencari fakta mengenai pandangan beberapa pemimpin parti lain.