Syawal lebih bermakna buat asnaf di Pulau Pinang

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Ketibaan Aidilfitri tidak lama lagi lebih bermakna buat 9,366 asnaf di negeri ini apabila menerima Bantuan Saguhati Aidilfitri daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata sebanyak RM5.693 juta disediakan tahun ini dan akan disalurkan kepada mereka yang dikenal pasti sebagai asnaf fakir dan miskin oleh kariah masjid.

Menurutnya, setiap asnaf menerima RM700 yang telah mula diagihkan di masjid-masjid sejak 18 April lalu.

"Ketibaan Aidilfitri pada tahun sememangnya dinanti-nantikan oleh segenap lapisan masyarakat Muslim khususnya di Pulau Pinang setelah dua tahun dibayangi oleh pandemik Covid-19.

"Kita harapkan dengan Bantuan Saguhati Aidilfitri yang diberikan ini akan meringankan bebanan penerima untuk menyambut meraikan hari raya dan menjadikan Syawal kali ini lebih bermakna buat mereka,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Ditanya mengenai jumlah bantuan saguhati yang disalurkan setiap tahun, Amran berkata terdapat perbezaan dari segi saiz dana yang salurkan disebabkan berlakunya peningkatan jumlah penerima yang dikenalpasti.

Jelasnya, hal ini kerana Had al-Kifayah di Pulau Pinang telah disemak pada tahun 2019 dan terdapat peningkatan kos sara hidup di beberapa parameter yang dikenalpasti.

Amran Hazali
Amran Hazali

Beliau berkata, kos yang dikeluarkan berdasarkan kepada prestasi kutipan zakat ZPP bagi tahun sebelumnya.

"Prestasi kutipan zakat ZPP merupakan petunjuk penting dalam peruntukan dana agihan.

"Namun pertimbangan utama peruntukan bantuan yang dikeluarkan bgi saguhati hari raya adalah berdasarkan peruntukan yang telah diluluskan dan anggaran kutipan zakat fitrah,"katanya.

Sementara itu, Amran memaklumkan pihaknya juga telah menyalurkan saguhati Nur Ramadan kepada 14,744 asnaf pada 1 April lalu yang melibatkan peruntukan RM4,549,780.

Katanya, bagi sumbangan Nur Ramadan bantuan itu telah pun disalurkan melalui bayaran ke akaun bank penerima masing-masing sejak pada 1 April lalu.

"Sumbangan bantuan bagi kedua-dua program ini adalah sepenuhnya daripada dan agihan Zakat Pulau Pinang.

"Bagaimanapun kolaborasi yang dilakukan adalah menerusi kerjasama dengan pihak kariah masjid yang berperanan sebagai mengenal pasti asnaf dan penyaluran sumbangan bantuan tersebut,"katanya.

Beliau berkata, keprihatinan ZPP terhadap asnaf-anaf fakir dan miskin, bukanlah sekadar memastikan pengagihan wang-wang zakat dilaksanakan dengan teratur, malah keprihatinan melalui bantuan-bantuan yang disalurkan.

Tambahnya, peranan itu menjadi pemangkin bertambahnya iman dan takwa melalui pelaksanaan ibadat wajib dan sunat serta melaksanakan kewajipan zakat fitrah di bulan yang mulia ini tanpa perlu memikirkan kesusahan hidup yang dihadapi.

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembayar-pembayar zakat kerana melaksanakan tanggungjawab menunaikan zakat di ZPP sekaligus menjayakan visi Amanah Ummah Dijaga, Hak Asnaf Terbela.