'Setiap kali banjir, kerugian dianggarkan berjuta'

Hannah meninjau lokasi terjejas banjir pada Isnin.
Hannah meninjau lokasi terjejas banjir pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak berwajib perlu mencari jalan penyelesaian segera kepada masalah banjir di Kuala Lumpur yang disifatkan semakin kritikal.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, musibah yang berlaku itu telah menyebabkan kerugian yang besar kepada rakyat dan taburan hujan yang tinggi tidak sepatutnya dijadikan alasan oleh pihak terlibat.

"Setiap kali banjir berlaku, kerosakan harta benda dianggarkan berjuta-juta.

"Alasan taburan hujan yang tinggi sudah tidak boleh diguna pakai jika modus operandi kerajaan masih tidak berubah.

"Ini sudah tahap bencana setiap kali hujan di Kuala Lumpur," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim meluluskan bantuan RM1,000 kepada penduduk Kuala Lumpur yang terjejas banjir pada Isnin.

Hannah berkata, beberapa kawasan dilanda banjir seperti Kampung Segambut Luar, Kampung Segambut Dalam, Kampung Masjid Segambut, Kampung Segambut Bahagia, Kampung Segambut Bahagia Tambahan, Kolam Air dan Kampung Kasipillay.

Menurutnya, banyak kerosakan harta benda apabila rumah dimasuki air dan ramai penduduk terpaksa membuang tilam dan perabot rumah.

"Terdapat juga pelajar yang mengalami kerosakan buku dan beg sekolah. Kenderaan juga rosak akibat ditenggelami air.

"Memandangkan hari raya semakin dekat dan persiapan menyambut perayaan ini telah terjejas dengan teruk, saya menggesa PM dan Menteri Wilayah Persekutuan untuk segera meluluskan bantuan sumbangan tunai sekurang-kurangnya RM1, 000 bagi mereka yang terkesan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Anwar Mohd Zain berkata, hujan lebat berlarutan lebih sejam bermula jam 3 petang pada Isnin telah menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air antaranya Jalan Travers, Jalan Sultan Abdul Halim, Jalan Kuching, Jalan Semantan, Pintasan Segambut, Jalan Segambut dan Jalan Kinabalu (Bulatan Merdeka).

Menurutnya, keadaan trafik di sekitar Kuala Lumpur mengalami kesesakan memandangkan kejadian banjir kilat berlaku ketika waktu puncak pada waktu orang tamat bekerja.

"Sehubungan dengan itu, warden trafik DBKL telah dikerah untuk segera memasuki kawasan yang mengalami kesesakan bagi membantu melancarkan trafik.

"Air yang bertakung telah surut dalam tempoh satu jam dan pam air didapati berfungsi dengan baik," katanya.