Amri bukti otai masih berbisa

Amri (tiga dari kiri) bersama barisan pemain Sabah FC meraikan jaringannya ketika menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Likas pada Ahad. - Foto Bernama
Amri (tiga dari kiri) bersama barisan pemain Sabah FC meraikan jaringannya ketika menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Likas pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KELIBAT penyerang veteran, Amri Yahyah mencuri tumpuan apabila dia meledak hatrik bagi membantu Sabah FC membenam Kedah Darul Aman (KDA) FC 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas pada Ahad.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, kesungguhan yang dipamerkan bekas penyerang Harimau Malaya berusia 41 tahun itu ketika menjalani latihan telah berjaya diterjemahkan pada perlawanan tersebut.

“Ya, saya akui walaupun sudah berusia, tetapi masih mampu mempamerkan aksi mantap, menjaringkan hattrik bagi membantu kemenangan pasukan.

“Bagi saya, pemain-pemain muda boleh menjadikan Amri sebagai contoh serta menjadikan pengalaman dimilikinya sebagai panduan berguna buat mereka nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Amri meledak hatrik pada minit ke-51, 61 dan 71 manakala satu lagi gol Sabah FC dijaringkan tonggak pertahanan import, Tae su-park.

Kemenangan itu menyaksikan Sabah FC mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super dengan meraih 12 mata setelah beraksi enam perlawanan setakat ini.

Mengenai pandangan sesetengah pihak yang mengatakan Sabah FC mampu mencabar juara lapan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini, Kim Swee berkata, masih terlalu awal membuat penilaian.

“Sebenarnya Sabah masih jauh di belakang JDT, mereka sudah berada dalam kelas yang tersendiri. Jadi tak perlulah membandingkan kami dengan JDT.

“Lebih baik jika kami fokus kepada sasaran yang ditetapkan musim ini. Lagipun perjalanan liga masih panjang dan kita tak tahu apa yang akan berlaku hujung musim nanti,” ujarnya.