Kelantan bakal dibanjiri anak perantau

Gambar hiasan - Foto 123rf
Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A

SELEPAS dua tahun menyambut Hari Raya Aidilfitri 'berpandukan' kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat susulan serangan ganas Covid-19, umat Islam kali ini mampu menarik nafas lega apabila dapat kembali meraikan lebaran itu seperti biasa.

Fasa peralihan endemik yang diumumkan kerajaan pada 1 April lalu dilihat cukup melegakan seluruh masyarakat khususnya anak-anak perantau.

Mana tidaknya tempoh dua tahun itu disifatkan cukup perit untuk ditempuhi oleh anak-anak perantau dan peluang pulang ke kampung menyambut lebaran tanpa perlu membuat permohonan rentas negeri pastinya akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

Melihat kepada situasi itu, kerajaan Kelantan baru-baru ini menerusi Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Datuk Mejer (B) Md Anizam Ab Rahman menjangkakan seramai 500,000 perantau akan pulang untuk menyambut Aidilfitri.

Namun, penulis menjangkakan jumlah itu akan bertambah berpandukan kepada 'cuti' terpijak diperoleh anak-anak perantau iaitu sambutan Hari Pekerja 1 Mei yang jatuh pada Ahad yang merupakan hari minggu pastinya akan dianjak ke hadapan.

Telahan penulis ada asasnya apabila 28,000 tiket bas ekspres Konsortium E-Mutiara ke semua destinasi di Semenanjung bagi perjalanan bermula Selasa (26 April) sehingga 2 Mei ini sempena sambutan Aidilfitri habis dijual.

Kata Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail antara tiket paling laris bagi tempoh itu adalah bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

Jumlah itu belum ditambah dengan kemasukan kereta milik persendirian serta pengangkutan awam lain termasuklah kapal terbang. Jika dihitung semuanya, tidak mustahil Kelantan akan sesak pada sambutan Aidilfitri kali ini sebagaimana yang berlaku sebelum serangan Covid-19.

Hasil tinjauan penulis kemeriahan sambutan lebaran itu semakin rancak apabila anak-anak Kelantan di perantauan sudah mula memuat naik status di laman sosial Facebook, Instagram, aplikasi WhatsApp dan TikTok yang menggambarkan mereka sudah tidak sabar pulang ke kampung halaman masing-masing.

Ditambah pula dengan kebenaran yang diberikan kerajaan untuk menyiarkan lagu-lagu raya pada 15 Ramadan menerusi corong-corong radio menyemarakkan lagi semangat untuk menyambut lebaran.

Tidak cukup dengan itu ada yang sudah mula memuat naik gambar biskut, baju dan tukaran duit raya untuk diagihkan kepada sanak saudara terdekat.

Mengenai ujian kendiri Covid-19 untuk perantau, tidak hairanlah jika kerajaan Kelantan menyarankan anak-anak perantau melakukan ujian kendiri Covid-19 sebelum pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

'Lubuk' rezeki peniaga

Bukan sahaja golongan ibu bapa, sanak-saudara serta sahabat-handai, para peniaga turut menantikan kepulangan perantau.

Kebiasaannya, kuasa beli perantau amat diperlukan dalam menggerakkan ekonomi setempat khususnya di zon bebas cukai Rantau Panjang, Pengkalan Kubor (Tumpat), Bukit Bunga (Jeli), Wakaf Che Yeh (Kota Bharu) dan pasar-pasar awam yang lain.

Hal ini kerana sebelum kembali mencari rezeki di perantauan, kumpulan ini akan ke lokasi-lokasi tersebut untuk membeli barangan tempatan untuk dibawa pulang.

Secara tidak langsung, kegiatan ekonomi di kawasan tersebut akan berkembang sekali gus melegakan para peniaga.

Di sebalik 'keghairahan' menyambut lebaran, seluruh masyarakat termasuklah perantau diingatkan supaya tidak alpa dalam aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang masih diguna pakai oleh kerajaan ketika ini.

Peralihan fasa endemik bukan tiket untuk masyarakat tidak patuh dengan SOP terutama berkait pemakaian pelitup muka dan sebagainya. Hal ini kerana Malaysia masih belum menang melawan Covid-19.

Pengurangan kes harian positif Covid-19 di Kelantan ketika ini iaitu sebanyak 19 kes pada Ahad tidak seharusnya dijadikan sebagai 'tiket' untuk kita semua terus berada di zon selesa kerana penyakit ini mudah tersebar jika SOP gagal dipatuhi.

* Hazelen Liana Kamarudin ialah wartawan Sinar Harian