Kualiti hidup rakyat terjejas

Trauma pencemaran metana menjadi suatu dilema baharu dalam persekitaran masyarakat.
Trauma pencemaran metana menjadi suatu dilema baharu dalam persekitaran masyarakat.
A
A
A

BENCANA alam sekitar merupakan salah satu tindak balas alam sekitar kepada manusia dan persekitaran akibat daripada pencemaran aktiviti manusia yang melampaui batas seperti melakukan pembuangan atau pelepasan sisa sama ada cecair atau pepejal secara tidak terawat ke persekitaran.

Secara semula jadi, alam sekitar boleh menyerap pencemaran jika kuantitinya adalah sedikit. Namun, jika pencemaran itu adalah melampaui batas atau secara berlebihan, alam sekitar itu sendiri akan bertindak balas dengan cara memulangkan bencana kepada manusia dan persekitaran.

Sehingga kini, status pencemaran alam sudah berada pada peringkat bencana. Ia jelas memperlihatkan kepincangan tadbir urus dalam pelbagai aspek. Dalam memastikan bencana ini dapat ditangani dengan baik dan memastikan ia tidak berulang, semua pihak harus bertanggungjawab. Tidak ada yang terkecuali baik pihak berkuasa, industri, ahli akademik, orang awam, NGO dan sebagainya. Semua harus duduk semeja membina pelan induk bersepadu bagi menangani masalah ini.

Dalam isu pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, ia bukan sahaja melibatkan kos rawatan yang tinggi bahkan mengancam kesihatan dan nyawa penduduk sekitar. Walaupun kita mendakwa si pesalah atau pendosa yang melakukan kesalahan ini, yang nyata penduduk sekitar terutama murid sekolah dan orang awam telah menjadi mangsa. Berapakah kos yang perlu dibayar dalam hal ini? Jawapannya pastilah tidak ternilai.

Mereka yang selama ini bebas menyedut udara tanpa gangguan, keluar tanpa sekatan telah tergugat. Kebebasan mereka telah tersekat. Siapa yang perlu membayar kos kebebasan ini kepada mereka? Kerajaan atau sang pendosa? Persoalan ini tergantung kerana tiada siapa yang bersedia untuk bertanggungjawab.

Apa yang pasti, kualiti hidup penduduk Pasir Gudang telah terjejas. Masyarakat Pasir Gudang tidak lagi dapat menikmati kebebasan yang paling asas untuk mereka nikmati iaitu udara bersih, akses kepada persekitaran turut tergugat dan mereka berasa bimbang masalah kembali berlaku.

Bahkan terdapat sebahagian daripada penduduk di taman perumahan yang berhampiran kawasan pencemaran, telah membawa ahli keluarga keluar dari kawasan tersebut. Mereka khuatir akan mengundang bahaya yang lebih kritikal jika terus tinggal di kawasan tersebut.

Trauma pencemaran metana menjadi suatu dilema baharu dalam persekitaran masyarakat, terutama pelajar yang bimbang untuk ke sekolah semula sejak menjadi mangsa pencemaran metana tersebut. Justeru, kaunselor-kaunselor sekolah harus segera memainkan peranan dalam hal ini di sekolah-sekolah terlibat.

Artikel Berkaitan:

Inilah yang paling dibimbangi oleh para pengurus alam sekitar dan masyarakat. Ini kerana natijah daripada pencemaran ini terpaksa diterima oleh orang yang tidak berdosa (tidak terlibat dalam pencemaran).

Sudah tiba masanya undang-undang alam sekitar diperkasakan di peringkat akar umbi. Mahkamah alam sekitar wajar diwujudkan. Ini kerana pencemaran alam sekitar bukan isu semasa dan terpencil. Ia adalah isu sejagat yang sering berlaku dan perlu ditangani dengan bijaksana. Kebimbangan kita adalah jika perkara ini tidak ditangani dengan bijak, perkara yang sama akan berulang dan terus berulang.

Sementara yang menjadi mangsa adalah rakyat yang tidak berdosa. Jangan kita berkompromi dengan keuntungan yang lumayan dan sementara kerana cagarannya adalah kehidupan dan nyawa manusia. Bersama kita menyokong memperkasakan undang-undang alam sekitar demi kesejahteraan bersama dan nilai alam sekitar dapat dinikmati hingga ke anak cucu dan seterusnya.

* Penulis ialah Pensyarah Pengurusan Alam Sekitar Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Johor (UTHM)