Segera percepat proses, hasil siasatan kes Hakim Nazlan

Shamsul Iskandar
Shamsul Iskandar
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa agar Ketua Polis Negara mempercepatkan proses dan mengumumkan hasil siasatan kes Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Beliau berkata, dalam laporan polis, Mohd Nazlan menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh Blogger, Raja Petra Kamarudin terhadapnya adalah palsu dan berniat jahat, malah mendakwa mempunyai kekayaan luar biasa dengan menerima wang lebih RM1 juta dari Low Taek Jho yang terpalit dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Justeru, saya menyeru agar Ketua Polis Negara mempercepatkan proses dan mengumumkan hasil siasatan dengan kadar segera kerana tuduhan Raja Petra itu begitu serius serta dilihat sebagai menganggu kewibawaan institusi kehakiman negara.

“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajib menyiasat laporan Mohd Nazlan secara telus dengan memanggil Raja Petra untuk memberi keterangan atas tuduhan yang beliau lemparkan.

“Raja Petra pula, jika beliau mempunyai keberanian harus pulang ke Malaysia dan tampil secara terbuka untuk disiasat oleh pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada 20 April lalu, Raja Petra mendakwa hakim Mohd Nazlan disiasat berhubung terpalit konflik kepentingan dalam kes rayuan SRC International yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Raja Petra dalam portalnya Malaysia Today pada Selasa, Nazlan disiasat berhubung wang RM1 juta yang tidak diisytihar dalam akaunnya.

Susulan itu, Mohd Nazlan membuat laporan polis berhubung artikel bertajuk ‘Group calling for Najib’s pardon now wants judge Nazlan arrested’ dan ‘Shocking Revelation: Najib’s Trial Judge Nazlan’s Conflict-of-Interest Exposed’ bertarikh 14 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata, serangan untuk menjatuhkan kredibiliti Mohd Nazlan itu merupakan satu usaha strategik antara Raja Petra dan pasukan peguam bela Najib untuk menyelamatkan karier politik Najib.

Justeru, beliau sekali lagi menyeru kepada Ketua Polis Negara agar tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang mempunyai agenda terdesak berserta kepentingan politik untuk menggugurkan segala dakwaan dan hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan terhadap Najib.

“Ketua Polis Negara tidak harus dilihat bersekongkol dengan seorang kleptokrat yang cuba mencemarkan seluruh kewibawaan institusi kehakiman demi menyelamatkan nyawa karier politik beliau (Najib),” katanya.