Perhalusi cadangan perkasa pelaburan langsung domestik: PM

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) khususnya dalam memperkasakan pelaburan langsung domestik (DDI), elemen terpenting dalam pemulihan ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, DDI dan pemerkasaan pusat sehenti (One Stop Centre - OSC) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Bil. 3 bagi tahun ini.

"Negara yang kini dalam fasa 'peralihan ke endemik' dan DDI adalah elemen terpenting dalam pemulihan ekonomi.

"Sehubungan itu, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan (MOF) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh NCCIM itu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, antara cadangan tersebut termasuklah melaksanakan kajian berkaitan inisiatif bagi mengurangkan 50 peratus kekangan birokrasi; melakukan penyatuan dan penyelarasan insentif pelaburan; merekayasa proses pengurusan buruh asing serta menyediakan pelan tindakan untuk mengembangkan rangkaian ‘perusahaan kecil dan sederhana dengan pelaburan langsung asing’ (PKS-FDI).

Bagi melonjakkan potensi DDI, katanya, kerajaan akan terus komited memperbaiki kualiti perkhidmatan PBT khususnya memperkasakan pelaksanaan OSC 3.0 kepada OSC 3.0 Plus agar sentiasa efisien, cepat dan telus.

"OSC 3.0 Plus adalah prosedur lengkap dan seragam berdasarkan undang-undang semasa bagi mengawal selia dan pemudah cara proses pemajuan di kawasan PBT sehingga bangunan layak diduduki menggunakan aplikasi digital sepenuhnya di semua 98 PBT di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, penambahbaikan tersebut melalui pengenalan Sistem OSC 3.0 Plus Online dengan penekanan kepada aspek ‘teach in’, pengurusan aduan dan sesi libat urus pemegang taruh termasuk membangunkan mekanisme pusat sehenti pelesenan secara digital.

Ismail Sabri berkata, proses pemulihan ekonomi negara kini berada pada momentum terbaik dan kerajaan komited untuk memastikan DDI terus dirangsang dengan mengambil pendekatan memudahkan urusan para pemain industri.

"Kerajaan sentiasa mendengar cadangan daripada semua pihak untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya. - Bernama