Jangan bunuh benih yang baharu tumbuh: Tok Mat

Mohamad berbual mesra dengan Abdul Hadi pada majlis makan malam yang diadakan, di sini, malam tadi. -Foto Syamilah Zulkifli
Mohamad berbual mesra dengan Abdul Hadi pada majlis makan malam yang diadakan, di sini, malam tadi. -Foto Syamilah Zulkifli
A
A
A

SEREMBAN - Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumpamakan penyatuan ummah antara UMNO dan Pas ketika ni sebagai benih yang baharu tumbuh.

Menurutnya, jika ia terus disiram dan dibaja maka akan menjadi sebuah pohon yang rendang yang mampu menjadi tempat berteduh oleh rakyat.

"Jangan pula kita nak matikan benih yang baharu tumbuh ini. Ikutlah cara orang tua dulu, yang tanam benih buah durian supaya anak cucu dapat makan, bukan dia nak makan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun Mahathir tiada masalah kerjasama UMNO-Pas

"Beza hari ini kita beli pokok yang sudah ada buah supaya kita sendiri yang dapat makan. Jangan cepat sangat nak ambil buahnya, yang penting bagaimana kita nak jaganya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kompleks Pas Negeri Sembilan di sini, malam tadi.

Katanya, orang bukan Islam jangan risau atau menganggap hubungan UMNO dan Pas sebagai satu gagasan atau deklarasi perang pada orang lain.

"Kita nak bersatu padu perkemaskan struktur masyarakat yang hari ini mula renggang.

Artikel Berkaitan:

"Tak tahu di mana silapnya. Selepas 14 kali PRU diadakan rakyat negara ini pertama kali rasa gelisah duduk di tanah air negeri kerana banyak perkara sensitif yang ditimbulkan," katanya lagi.

Mohamad berkata, suasana sebegitu perlu dihentikan dengan mencari satu titik persamaan antara semua kaum untuk kehidupan generasi akan datang.

"Janganlah orang lain risau, syak wasangka, dan cemburu sehingga menuduh penyatuan ini akan jadikan negara Taliban.

"Bagi saya yang buat tuduhan itu berfikiran dangkal dan tak arif dengan maksud penyatuan ummah. Buktinya Malaysia yang ditadbir oleh BN selama ini tidak pernah pinggirkan kaum lain," katanya.

Mohamad berkata, begitu juga dengan Pas yang tidak pernah menjadikan negeri Kelantan yang ditadbirnya sebagai Taliban.