JPJ Melaka tingkat operasi pantau, periksa kenderaan

Muhammad Firdaus
Muhammad Firdaus
A
A
A

MELAKA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka akan mempertingkatkan operasi dan pemantauan dengan lebih kerap sepanjang operasi Hari Raya Aidilfitri bermula 29 April ini.

Pengarahnya, Muhammad Firdaus Sharif berkata, penguat kuasa jabatan itu akan digerakkan dalam kumpulan kecil antara tiga hingga keempat orang bagi membuat operasi terutama di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi sering berlakunya kemalangan.

Menurutnya, kira-kira 200 kakitangan yang akan bertugas di lapangan sepanjang operasi berkenaan termasuk di 12 kawasan hotspot iaitu lima di Melaka Tengah, empat di Alor Gajah dan tiga di Jasin.

"Objektif kita untuk memastikan kelancaran lalu lintas dan keselesaan kepada pengguna jalan raya.

"Pada masa sama kita juga menugaskan anggota untuk membuat penyamaran sebagai penumpang bas bagi mengesan kesalahan yang dilakukan pemandu bas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Ops Hari Raya Aidilfitri, Larangan Penggunaan Kenderaan Berat (Total Ban), Penyamaran Bas Ekspres dan sembilan kesalahan utama di pejabat JPJ Melaka, Bukit Katil pada Isnin.

Tambahnya, lima kesalahan lalulintas utama yang tidak dibenarkan kompaun namun perlu diselesaikan di mahkamah.

"Operasi ini secara tidak langsung sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan kadar nahas di jalan raya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Firdaus berkata, pihaknya akan membuat lelongan kenderaan-kenderaan sita pada 18 Mei depan di JPJ Melaka secara bersemuka membabitkan 30 kenderaan dengan 21 daripadanya boleh didaftarkan.

"Pelbagai jenis kenderaan yang akan dilelongkan dan paling tinggi kereta Honda Civic yang akan dilelong dengan harga RM11,900 manakala paling murah Proton Saga dengan harga RM337.50.

"Mereka yang berminat boleh membeli buku lelongan dengan harga RM50 di pejabat JPJ," katanya.